Mati kempunan , tak sempat joli RM1j


SERI KEMBANGAN: Hampir sebulan menjadi buruan polis, dua ahli kumpulan perompak bersiri Geng Hong Leong yang amat dikehendaki polis akhirnya tersungkur mati selepas ditembak lebih 30 das peluru, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, polis terpaksa menembak mati seorang daripada dua penjenayah terbabit di Taman Equine di sini, selepas suspek enggan menyerah diri.

 Sumber polis berkata, kedua-dua penjenayah terbabit sebelum ini dikesan sebagai dalang utama tiga kes rompakan bank bersenjata api membabitkan jumlah rompakan mencecah hampir RM1 juta.

Menurutnya, susulan tiga kes rompakan bank dilakukan penjenayah, polis menjalankan operasi besar-besaran bagi memburu kumpulan penjenayah warga tempatan berkenaan yang dipercayai menyembunyikan diri sejurus kejadian berkenaan.

“Hasil kecekapan polis, kumpulan penjenayah terbabit akhirnya dikesan sebelum diekori pasukan khas daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan Bukit Aman.

“Seorang daripada suspek yang memandu Honda Accord hitam diekori polis dari sebuah stesen minyak di Persiaran Equine Perdana, sebelum dipintas kenderaan polis. Suspek yang diarahkan menyerah diri sebaliknya melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis,” katanya.

Berikutan itu, polis terpaksa membalas tembakan yang membunuh penjenayah yang ketika itu hanya memakai seluar pendek. Pemeriksaan lanjut, polis menemui sepucuk revolver jenis .38mm pada mayat penjenayah.

Tinjauan wartawan turut menemui lebih 19 lubang kesan tembakan pada cermin depan kereta penjenayah selain beberapa kelongsong peluru bertaburan berhampiran kereta suspek yang ditembak polis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, suspek berusia 30-an adalah perompak paling dikehendaki polis Selangor dan Kuala Lumpur selepas melakukan tiga rompakan bersiri pada 24 Ogos serta 15 September dan 18 September lalu.

Katanya, kira-kira jam 3.30 petang, anggota pasukan khas yang ditubuhkan turut mengesan tiga lagi ahli kumpulan perompak terbabit sedang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima sebelum mengekorinya dari Seri Kembangan hingga ke Gohtong Jaya, Genting Highlands.

Polis yang mengekori MPV dinaiki suspek mengarahkan penjenayah memberhentikan kenderaan, namun mereka enggan mematuhi arahan sebaliknya melarikan diri selain turut melepaskan beberapa das tembakan rambang.

Susulan itu, polis mengejar suspek hingga ke persimpangan menuju Gohtong Jaya sebelum menembak mati seorang suspek berusia 41 tahun, menjadikan jumlah suspek yang ditembak mati dua orang.

Polis turut menemui sepucuk pistol model Smith & Wesson dan beberapa butir peluru hidup pada badan suspek yang dibunuh. Dua lagi penjenayah yang berada dalam kenderaan terbabit bagaimana sempat keluar dan melarikan diri.

Berikutan itu, Unit Anjing Pengesan Polis (K9) dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memburu penjenayah yang dipercayai masih bersembunyi dalam kawasan hutan berhampiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah turut berada di lokasi kejadian di Gohtong Jaya bersama timbalannya, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika pemeriksaan dijalankan di lokasi insiden.

Difahamkan susulan kejadian itu, polis melakukan siasatan terhadap sebuah rumah milik suspek di Cheras, di sini namun gagal menemui sesiapa di rumah berkenaan.-hmetro

This entry was posted in Isu Semasa. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s