Wawancara: Pilih Urus Niaga Saham Syariah


by Ust Zaharuddin

Berikut adalah wawancara saya dengan wartawan Utusan Malaysia, bahagian MEGA, rencana ini disiarkan pada 29 September 2009 di ruangan Ilmuan Islam .

MEGA: Apakah hukum asas bermain saham?
ZAHARUDDIN: Kebanyakan ulama kontemporari berpendapat tatkala kita membeli saham sesuatu syarikat, kita sebenarnya akan memiliki sebahagian kepentingan ekuiti syarikat tersebut, ini bermakna sebagai pemegang saham. Dari sudut pandangan Islam, kita dikira sebagai rakan kongsi syarikat terbabit.

 

Sebagai rakan kongsi, kita akan terdedah kepada risiko kerugian ataupun kelebihan perolehan keuntungan. Dengan ini, hukum asal pembelian saham adalah halal kerana ia didasari akad ‘Shirkah’.

Dalil kepada keharusan bersyarikat ini boleh dilihat di dalam al-Quran yang bermaksud: dan mereka berkongsi dalam 1/3…(an-Nisa: 12)

Dan juga hadis bermaksud: “Aku orang ketiga bersama dua orang yang bersyarikat selagi mana tiada salah seorang yang mengkhianati rakannya.” (riwayat Abu Daud)

Pembelian saham juga harus dibuat melalui broker atau remisier. Tugas mereka biasanya adalah menentukan nilai pasaran dan coraknya, mengiklankan sebarang aset untuk jualan, menayangkan beberapa aset kepada pembeli yang berpotensi, menasihati pelanggan dalam tawaran yang diterima, sebagai wakil untuk membeli dengan upah tertentu.

Urus niaga di bursa saham telah dibincangkan banyak kali dalam pelbagai persidangan ulama dan pakar kewangan sedunia. Keputusan Kesatuan Fiqh Antarabangsa (pada 9-14 Mei 1992) dan Majlis Kajian dan Fatwa Eropah dalam keputusannya (7/1) 63 antara lainnya menyebut:

Hukum membeli saham pada asalnya adalah sama dengan hukum bersyarikat atau musyarakah atau rakan kongsi. Ia adalah harus menurut syariah daripada al-Quran dan hadis.

Walaupun hukum asalnya harus, ia tetap mempunyai beberapa syarat umum bagi memastikan yang harus tidak berubah kepada haram.

Antara syarat umum yang telah diletakkan dalam hal menyertai aktiviti urus niaga saham ini adalah:

a. Penubuhan dan penyertaan sebuah syarikat yang patuh syariah di dalam bursa adalah harus.

b. Tiada sebarang perbezaan pandangan bahawa menyertai atau membeli saham syarikat yang asas utama perniagaannya adalah haram seperti institusi kewangan yang memberi pinjaman riba atau berniaga barangan yang diharamkan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Majoriti ulama dunia mengharuskan penjualan dan pembelian di bursa

· Syarat ijab kabul telah terlaksana dalam pembelian dan pemilikan saham.

· Majlis Pengarah syarikat telah mewakili seluruh pemegang saham dalam pengurusan syarikat mereka.

Sehubungan itu, para ulama besar mengharuskannya seperti Sheikh Mahmud Syaltut, Sheikh Ali Khafif, Sheikh Muhammad Abu Zahrah, Dr. Muhammad Yusof Musa dan ramai lagi. (At-Takaful Al-Ijtima’ie, Abu Zahrah, 2/184 ; As-Syarikat : Ali Khafif, hlm 96 ; Al-Mualamat Al-Maliah, Uthman Syabir, hlm 206)

Namun terdapat sedikit pertikaian hukum berkongsi syarikat dengan bukan Islam. Perbincangan dan pertikaian timbul dalam isu membeli saham yang dianggap patuh syariah tetapi majoriti pemilikannya adalah individu bukan Islam.

Terdapat sebahagian ulama yang tidak membenarkannya dan ada juga yang menganggapnya sebagai makruh. Ia berdasarkan riwayat Ibnu Abbas r.a yang bermaksud: Berkata Ibnu Abbas, “Jangan kamu bersyarikat dengan Yahudi, Nasrani atau Majusi”, maka aku (Ibnu Hamzah) bertanya “mengapa tidak?” Jawab Ibnu Abbas: “Kerana mereka melakukan riba dan riba tidak halal”. (Al-Mughni, Ibnu Qudamah, 5/3 ; Al-Muhazzab, 1/345)

Hadis di atas menjadikan Imam As-Syafie menganggap bermusyarakah dengan bukan Islam adalah makruh. Imam Ahmad, Awzaie dan Hasan al-Basri menganggapnya harus.

Imam Ibnu Qudamah juga mengatakan kata-kata Ibnu Abbas tadi hanyalah pandangan seorang sahabat dan tidak pula tersebar di kalangan sahabat lain.

Khalifah Umar al-Khattab berpandangan harusnya dengan iktikad ia daripada pendapatan mereka yang halal sebagaimana Nabi SAW diriwayatkan membeli makanan daripada Yahudi dan mencagarkan baju besi baginda SAW.

Pandangan mengharuskan dengan melihat kepada perincian aktiviti syarikat ini disokong kuat oleh ulama besar kontemporari seperti Sheikh Mustafa Az-Zarqa. Beliau menolak pengharaman umum ke atas penyertaan di bursa saham.

Justeru selagi mana urus niaga syarikat adalah menepati syariah, ia adalah sah walaupun terdapat rakan kongsi bukan Islam yang sama ada diketahui atau tidak bahawa modalnya daripada yang haram. Ia juga dikuatkan oleh riwayat berikut:

Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Athar berkata: Rasulullah SAW melarang daripada bermusyarakah dengan Yahudi dan Nasrani kecuali jika jual belinya di tangan orang Islam (menuruti syariah). (Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi’ , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal: Ahkam Ahli Zimmah, 1/556)

Ada yang bagi alasan, saham-saham yang mematuhi syariah itu kurang menguntungkan berbanding saham lain. Sebab itu melabur dalam saham bukan syariah. Adakah tanggapan ini betul?

ZAHARUDDIN: Saya kurang bersetuju dengan tanggapan tersebut. Setakat semakan saya, kebanyakan blue chips atau saham-saham syarikat-syarikat besar, terkenal dan yang mempunyai keuntungan konsisten di Malaysia telah disahkan patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Oleh yang demikian tidak timbul persoalan kurang menguntungkan. Cuma jika ingin dibandingkan dengan beberapa syarikat yang tidak patuh syariah seperti perjudian dan kewangan riba.

Mungkin dakwaan itu ada sedikit kebenarannya, namun demikian tidak tepat untuk mendakwa kaunter tidak halal ini sentiasa lebih menguntungkan berbanding yang patuh syariah.

Ada pelbagai jenis orang yang main saham. Apa hukumnya bagi yang main kontra?

ZAHARUDDIN: Jualan kontra adalah apabila pembeli saham mengambil peluang daripada tempoh penangguhan bayaran saham yang dibeli untuk membeli sesuatu saham dan kemudian menjualnya sebelum tempoh ‘wajib’ bayar tiba.

Sebagai contoh di Malaysia wujud undang-undang T+3. Ia bererti urus niaga pembelian saham dibuat sebagai contoh pada hari Isnin, tetapi pembayaran bagi pembelian tadi mesti diselesaikan dalam sebelum atau pada hari Khamis (dalam masa tiga hari).

Pemilikan saham akan bertukar milik sejurus selepas transaksi walaupun pembayaran belum dibuat.

Walau bagaimanapun, jangan disangka bahawa di antara tempoh tiga hari itu, seseorang mempunyai masa untuk membatalkan urus niaga. Urus niaga telah termeterai pada hari urus niaga iaitu hari Isnin dalam contoh di atas. Cuma proses pertukaran dan pembayaran sahaja yang belum dibuat.

Hukum transaksi kontra seperti ini boleh datang dalam dua keadaan:

a) Jika pembeli punyai wang secukupnya dari awal; Jika pembeli membeli sebuah saham patuh syariah dengan kontra dengan cara pembayaran T-3, dan beliau sememangnya telah mempunyai wang yang cukup dalam akaunnya sebanyak nilai pembelian sahamnya dari hari pertama lagi. Namun sebelum tiba tempoh penyelesaian pembayaran tiba, harga sahamnya melonjak naik, menyebabkan dia dengan segera menjualnya agar dapat peroleh keuntungan. Urus niaga seperti ini halal.

Keharusan ini dikuatkan lagi apabila keterangan di dalam web bursa Malaysia menjelaskan setiap individu yang ingin membeli mestilah mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung harga saham yang dibeli dan juga semua kos transaksi.

Jika demikian peraturannya, saya berpandangan bahawa hak milik sekuriti yang dibeli telah sempurna. Ia juga memang mempunyai wang yang mencukupi bagi tujuan pembelian itu walaupun belum sampai hari wajib bayar, tatkala itu, belian dan jualannya adalah sah.

b) Tidak punyai wang cukup

Sekiranya, pembeli tidak mempunyai wang yang cukup di dalam akaunnya pada waktu pembelian, tetapi hanya dipinjam daripada wang broker dengan kadar faedah tertentu dengan harapan harga akan menjadi lebih tinggi daripada apa yang dibeli. Ia adalah haram.

Ini dilakukan bagi membolehkannya menjual sekuriti yang dibelinya sebelum sampai masa perlu bayar dan membuat keuntungan atas angin kerana membeli tanpa modal sebenar.

Bagi saya urus niaga seperti ini (jika berlaku) ia tidak syak lagi mempunyai unsur riba (jika modal yang dipinjam punyai faedah).

Sekiranya tiada punyai sebarang faedah, ia masih mempunyai elemen perjudian kerana ia benar-benar bergantung kepada nasib dan harapan harga akan naik. Pembeli pula tiada sebarang wang yang mencukupi, ia hanyalah bergantung kepada wang broker yang mengabuinya. Tatkala itu transaksi tetap tidak halal.

Apa pula hukumnya melibatkan diri dengan pelaburan di Internet?

ZAHARUDDIN: Islam menerima transaksi kewangan sama ada jual beli dan juga pelaburan yang dilakukan melalui Internet. Cuma syarat-syarat bagi jual beli dan pelaburan mestilah dipastikan terlebih dahulu.

Secara ringkasnya, pelaburan melalui Internet hanya akan menjadi halal sekiranya:

a) Tiada unsur gharar (tidak tentu status) berkenaan latar belakang syarikat yang menguruskan pelaburan itu. Justeru mesti dipastikan syarikat itu benar-benar wujud dan diketahui lesen serta perincian pengurusan syarikat.

b) Diketahui dengan jelas jenis pelaburan atau perniagaan yang dilaksanakan oleh syarikat terbabit dan status halalnya.

c) Cara pelaburan dilakukan secara halal tanpa sebarang jaminan untung tertentu dan jaminan selamat modal, jika terdapat unsur jaminan sebegini, ia disepakati ulama sebagai haram kerana riba.

d) Memastikan syarikat yang dilaburkan dana kita melalui Internet itu disahkan kewujudannya oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Dalam Islam, yang penting bagi rezeki kita ialah keberkatan walaupun ia sedikit. Boleh ustaz terangkan dalam konteks saham ini.

ZAHARUDDIN: Islam tidak menyekat umatnya untuk memperoleh keuntungan. Namun beberapa hukum haram diletakkan bagi apa-apa transaksi yang menyumbang kepada mudarat kepada diri sendiri atau zalim kepada sebelah pihak lain.

Dalam urus niaga saham, kita tahu terdapat banyak teknik pembelian saham yang wujud, dan sebahagiannya telah saya ulas di dalam buku saya ‘Wang, Anda dan Islam’.

Ringkasnya, terdapat cara yang haram dan ada pula yang halal. Bagi mereka yang mendambakan keuntungan lumayan mereka mungkin akan melibatkan diri sama ada melalui pinjaman riba dengan broker bagi menambahkan kemampuan modalnya, atau membeli saham tidak patuh syariah yang dikira stabil dan untung, atau memasuki alam urus niaga saham sebagai tempat berjudi.

Nabi pernah mengingatkan bahawa riba itu walau banyak pada kiraan fizikalnya, ia bakal membawa kepada sedikit. Maksud ’sedikit’ itu adalah kerana individu terbabit akan sentiasa merasa tidak cukup, ’sedikit’ juga bermaksud perolehan itu hanya akan mendorongnya kepada sedikit dan kurang rahmat dan belas Allah terhadapnya.

Tiada berkat ini akhirnya, mengotorkan jiwa, hati dan pemikiran individu terbabit sehingga sifat tamaknya terus membuak dan sentiasa tidak cukup dengan apa yang ada.

Lebih teruk, ketiadaan berkat dalam pendapatan mendorong individu kepada lebih banyak dosa dan liat dalam melakukan amal soleh. Atas sebab itu, Islam sentiasa mengajak umatnya memastikan status halal dalam pendapatan walau sedikit kerana keberkatan itu sumber kebahagiaan dan ketenangan hati.

Apa guna harta yang banyak dengan hati yang sentiasa tertekan dan tidak tenteram.

Apakah status urus niaga yang dilakukan selepas azan pertama dikumandangkan pada hari Jumaat?

ZAHARUDDIN: Solat jumaat wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus.

Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya: Wahai orang yang beriman, apabila telah diseru untuk solat pada hari Jumaat, bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli.

Menurut majoriti mazhab seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali, berjual beli selepas azan kedua (iaitu azan semasa khatib telah duduk di atas mimbar) hari Jumaat adalah haram, akadnya tidak sah.

Hasil perolehan daripada akad itu juga adalah haram dan pemilikan barang yang dibeli juga tidak sah. Ulama Mazhab Syafie menganggap jual beli pada waktu itu hanya makruh dan masih sah.

Jual beli yang dilakukan setelah azan pertama iaitu sebelum imam atau khatib duduk di atas mimbar, ulama seperti At-Tohawi mengatakan ia adalah sah dan dibenarkan. Cuma tidak digalakkan kerana dibimbangi akan menyibukkan kedua-dua pembeli dan penjual dari kewajipan solat Jumaat.

Perlu difahami bahawa azan di zaman Nabi SAW, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, manakala di zaman Uthman, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Imam Al-Bukhari melaporkan bahawa azan Jumaat di zaman Nabi dilaungkan hanyalah sekali iaitu di waktu imam mengambil tempat di atas mimbar.

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:

a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini.

This entry was posted in Agama. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s