Kenduri kahwin sederhana elak dipandang serong


Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

AMAT sinonim dengan musim cuti persekolahan, masyarakat akan mengambil kesempatan mengadakan walimah atau kenduri kahwin. Ada yang menerima undangan dua hingga tiga jemputan pada hari tertentu. Di bandar besar atau desa terpencil, kenduri kahwin ini akan berlangsung dalam suasana cukup meriah tanpa mengira kecil atau besar sambutan mengikut kemampuan ekonomi sesebuah keluarga.

Kemeriahan akan lebih terasa kerana sesuai dengan pengertian walimah itu sendiri yang bermaksud mengadakan suatu majlis makan yang turut mengundang sanak saudara dan sahabat handai sama ada dekat dan jauh untuk turut sama menyerikan lagi majlis.

Anas bin Malik dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim Rasulullah melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isterinya dan juga untuk Zainab. Jelas dari mafhum hadis itu bahawa hukum mengadakan walimah diharuskan oleh agama sebagai mengumumkan suatu ikatan pernikahan, tetapi hendaklah mengikut batas ditetapkan syariat Islam.

Menurut pandangan Syed Sabaq dalam salah sebuah kitabnya, menerangkan walimah dapat dilaksanakan ketika berlangsungnya akad nikah atau sesudahnya. Ia juga boleh dilangsungkan pada hari perkahwinan (mencampuri isterinya) atau sesudahnya.

Pada kisah Abi Usaid juga didapati bahawa walimah yang dilakukan beliau di mana Rasulullah menghadirinya, Abu Usaud menghidangkan kurma yang disimpan pada malam harinya. Kurma itulah yang dihidangkan kepada tetamu lain.

Ini bermakna, walau jenis makanan apa sekalipun yang ingin dihidangkan oleh pihak keluarga yang mengadakan walimah, itu terpulanglah kepada kemampuan yang dimiliki. Tetapi yang ingin dijelaskan dari kisah itu, Islam memberi perhatian istimewa terhadap majlis kenduri kahwin untuk mengumumkan kepada masyarakat suatu ikatan pernikahan berlangsung dalam keluarga.

Dalam mengadakan majlis kenduri kahwin ini, janganlah pula ada di kalangan keluarga Islam yang mengadakannya dengan melampau batas syariat. Antaranya menyerlah sikap ingin menunjuk-nunjuk dengan mengadakan kenduri besar-besaran, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada keadaan kewangan kemudian, melakukan pembaziran wang ringgit dan harta benda, membuat pinjaman bank dan berhutang dalam jumlah ringgit yang besar semata-mata kerana menurut nafsu dan keinginan yang melampau dan sebagainya.

Firman Allah dalam surah al-Isra’ bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Sudah menjadi budaya masyarakat, bila saja orang daripada golongan mewah dan kaya, apabila mengadakan kenduri kahwin, jarang sekali yang mendahulukan orang miskin dan kurang berada sebagai tetamu untuk meraikan majlis.

Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Bukhori bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya saja, orang fakir dan miskin tidak pula diundang untuk makan bersama.”

Daripada aspek memenuhi tuntutan sebagai orang dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin pula Rasulullah menyatakan dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Bukhori bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu dijemput ke majlis perkahwinan, hendaklah ia mendatangi majlis itu.”

Dalam kitab ditulis Syed al-Bari ada menyatakan syarat undangan yang wajib dipenuhi antara lain meliputi perkara berikut:

l Orang yang mengundang adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.

l Tidak dikhususkan kepada orang kaya saja.

l Orang yang mengundang beragama Islam.

l Tidak ada kemungkaran di majlis itu.

l Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran Syarie.

Dalam membicarakan soal maksiat dan kemungkaran dalam majlis perkahwinan, isu inilah yang sering tidak diambil perhatian berat ramai anggota masyarakat.

Oleh kerana majlis diadakan bertujuan mendapat keredaan Allah, usahlah dicemari dengan perkara bercanggah dengan syariat Islam. Pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, pertuturan yang keji dan lucah, nyanyian dan tarian yang melalaikan, senda gurau melampau adalah contoh beberapa situasi yang sering berlaku dalam majlis kenduri kahwin.

At-Tirmizi meriwayatkan hadis Rasulullah bermaksud: “Perbezaan antara majlis perkahwinan yang halal dan haram ialah adanya nyanyian dan pukul rebana.”

Dari mafhum hadis itu, hendaknya sama-samalah kita menepati kehendak sebenar syariat Islam apabila ingin memeriahkan majlis walimah atau kenduri kahwin dengan persembahan hiburan supaya ia tidak tercemar dengan unsur ditegah agama dan melanggar ketertiban budaya orang Melayu.

Abu Hurairah dalam hadis Rasulullah menyatakan tempoh mengadakan kenduri kahwin yang bermaksud: “Walimah pada hari pertama adalah suatu hal yang benar. Pada hari kedua adalah suatu perkenalan, sedangkan hari ketiga adalah adalah pamer dan mencari kemasyhuran.”

Dalam hadis di atas Rasulullah menyatakan pula keharusan mengadakan kenduri kahwin dengan sikap berpada-pada apabila supaya ia tidak dipandang serong oleh orang lain. Cukuplah jika ia diadakan sehari dua bagi memenuhi tuntutan kehadiran tetamu yang barangkali tidak sempat hadir pada hari yang ditetapkan.

Apapun Islam menuntut umatnya bersederhana dalam melakukan apa saja perkara dalam kehidupan ini kerana kesederhanaan itulah yang dituntut oleh agama.

This entry was posted in Masyarakat. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s