Karya ulama Patani dalam ilmu usuluddin dan tasawuf


Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

Tuan Guru Haji Abdul Qadir Bin Ismail As-Sanawi antara ulama Patani yang alim dalam bidang ilmu tauhid.


KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

Karya Ilmu Usuluddin

Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama’ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy’ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani ‘Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi ‘Aqaidil Mu’minin (1232 H/1816 M), ‘Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi ‘Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil ‘Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi ‘Aqaidid Din wal Ad’iyatun Nafi’ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta’allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu’ul Masail.

Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah: Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan Munjiyatul ‘Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil ‘Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah

This entry was posted in Dakwah. Bookmark the permalink.