Dulu gangster, kini imam


 MELIHAT penampilan Chan Narong atau Mohd. Isa Salleh, 19, yang mempunyai raut wajah yang tenang, tentunya tidak ramai yang menyangka anak muda ini sudah lama bergelumang dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral sebelum ini.

Mohd. Isa mula menempuh alam kedewasaan dalam usia masih mentah dan pernah menjadi budak suruhan kumpulan gangster di kampung kelahirannya, Thhooy Thongva, Phnom Penh, Kemboja.

Pelajar Tahun Kedua Sijil Asas Pengajian Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) di Pengkalan Chepa, Kelantan ini menceritakan beliau melakukan apa sahaja yang diarahkan ketua gengster untuk mendapat upah.

Mohd. Isa datang ke Malaysia pada tahun 2005 pada usia 15 tahun mengikut jejak ayah dan ibunya yang datang lebih awal untuk mencari pekerjaan kerana tidak gemar untuk terus bersekolah.

Ketika itu, beliau tidak mengetahui yang ayahnya, Pontat, 47, ibunya, Soerem, 49, sudah menerima Islam dan memilih nama Salleh dan Masitah, diikuti kakak dan adiknya.

“Selama seminggu saya berada di rumah ayah di Banting, Selangor, saya hairan melihat dia berkopiah. Pada mulanya saya ingatkan itu adalah adat orang di Malaysia dan ayah hanya mengikut resam orang-prang di sini.

“Tetapi apabila ayah keluar rumah setiap kali azan berkumandang, ia menambahkan lagi kemusykilan saya. Rasa ingin tahu yang membuak-buak menyebabkan saya memujuk ayah memboncengkan saya ke tempat yang selalu dituju.

“Saya terkejut apabila ayah menunggang motosikal sampai ke surau. Rasa marah meletus di dada apabila terbongkar rupanya ayah sudah jadi orang Islam. Saya terus lari balik ke rumah,” cerita Mohd. Isa.

Katanya, perbuatan itu disifatkannya sebagai melupakan asal usul sendiri dan amat membingungkannya kenapa keluarga menerima Islam kerana sewaktu di negara asal, masyarakat Islam dipandang rendah dan sering diejek kerana kain dan jubah yang dipakai.

Mohd. Isa terus mengemas pakaian dan menelefon bapa saudaranya, Mohamad Abdullah, 39, yang tinggal di Kanchong Darat untuk tinggal bersamanya.

Mohamad menganut Islam sejak 1999 dan bekerja menjual ais krim.

“Saya cuma tidak mahu lihat muka ayah. Saya maklum yang bapa saudara saya sudah memeluk Islam tetapi saya lebih ralat dengan tindakan ayah kerana merahsiakannya dari saya,” katanya.

Mendengar azan

Semasa di Kemboja, Mohd. Isa akui perkara yang paling dibencinya adalah mendengar azan kerana ia sering dilaungkan tiap kali masuk waktu.

“Pada saya ia satu perkara yang membingitkan telinga,” katanya.

Pernah Mohd. Isa cuba meninjau apa yang ada di dalam masjid di kampungnya di Kemboja apabila melihat para jemaah sering keluar masuk.

“Saya perhatikan di bahagian hadapan masjid tidak ada apa pun yang boleh disembah seperti dalam kuil. Saya bertanya seorang pakcik yang kebetulan berada di muka pintu, apa yang dia sembah, katanya mereka menyembah Tuhan.

“Saya jawab balik, mana ada Tuhan dalam masjid ini? Pakcik itu berkata, anak nampak angin? Saya kata tidak. Dia bertanya kembali, walaupun tidak nampak adakah angin itu ada? Saya jawab ya. Pakcik itu berkata maka itulah juga yang boleh difaham dengan Allah yang disembah orang Islam.

“Dia tetap wujud walaupun tidak dapat dilihat dengan mata,” jelas pakcik itu kepada Mohd. Isa.

Bagaimanapun pada ketika itu beliau tidak faham penjelasan yang diberi kerana baginya Tuhan perlu dijelmakan seperti patung, barulah boleh disembah dengan baik.

Namun hidayah Allah tidak boleh ditolak apabila ia sudah mengetuk pintu hati. Hanya tiga minggu berada di rumah bapa saudaranya, Mohd. Isa memeluk Islam pada 27 September 2005 di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Sepanjang tinggal bersama bapa saudara, dia tidak pernah meminggirkan saya dalam aktiviti berkaitan agama. Setiap malam ada majlis taalim (ilmu) bersama sepupu-sepupu saya.

“Pak cik Mohamad akan membaca kisah nabi dan para sahabat, dalam bahasa Melayu dan kemudiannya akan menterjemahnya ke dalam bahasa Kemboja. Saya tertarik dengan kisah Nabi Muhammad berdakwah kepada kaum Quraisy.

“Sebelum masuk Islam lagi saya sering dibawa ke masjid bersamanya, malah pernah mengikuti satu rombongan menghadiri pertandingan hafalan. Bacaan ayat al-Quran dan tafsirannya yang diterjemahkan pula kepada saya oleh bapa saudara menggamit hati untuk yakin kepada Islam,” ceritanya.

“Dahulu pun terasa juga diri ini bagai mempersenda Tuhan sendiri. Makanan seperti ayam disembahkan kepada berhala, kadang-kadang saya curi untuk dimakan bersama kawan-kawan,” tambahnya.

Selain mengikuti kursus sijil di IDIP di bawah tajaan JAIS sejak awal 2008, Mohd. Isa juga bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Dalam masa enam bulan pertama di IDIP, Mohd. Isa berjaya memahami bahasa Melayu sepenuhnya sama ada untuk bercakap, menulis dan membaca.

“Saya pun tidak menyangka perkara ini tetapi Allah menerangkan hati saya menerima pelajaran,” katanya.

Dia bersyukur kerana kini sudah menghafaz lebih satu juzuk al-Quran dan mendapat kepercayaan tenaga pengajar di IDIP sebagai salah seorang imam di situ.

Mohd. Isa yang bercita-cita menjadi seorang ustaz dan pendakwah berazam membantu ibu bapanya yang kini bekerja sebagai tukang kebun dan penjual kuih.

This entry was posted in Agama. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s