Nilai Sebuah Pekerjaan


May 1st, 2007 by saifulislam

“Kenapa anda mahu jadi doktor?”, saya melemparkan soalan ini, selepas
mempertontonkan kepada pelajar di IMU tadi video dari koleksi Stephen
R.Covey.

Pelajar yang hadir tersenyum-senyum.

“Sebab minat biologi?”, saya bertanya.

Ramai yang ketawa. Itu mungkin alasan semasa di Tingkatan 4 dahulu.
“Sebab suka tolong orang?”, saya terus bertanya.
Ramai yang mengangguk.
“Well, come on. Ramai yang hantar anak buat perubatan supaya boleh
rawat ibu bapa sendiri nanti. Tetapi realitinya, kamu bukan manusia pertama
boleh muncul memberikan rawatan jika berlaku apa-apa kepada ibu bapa. Malah
ketika di bilik pembedahan dan wad kecemasan, ahli keluarga bukanlah
calon terbaik untuk merawat ahli keluarga sendiri. Namanya, profesionalisma”,
saya menyambung provokasi.

“Kamu nak tolong suami, isteri dan anak-anak? Rasa saya, suami doktor,
isteri doktor dan anak-anak doktorlah yang paling banyak kena
berdikari”, saya terus mencucuk jarum.

“Saya selalu beritahu isteri, bahawa apabila awak berjaya jadi
specialist nanti, jangan lupa bahawa orang yang paling banyak berkorban ialah tiga
orang ini. Anak-anak kita. Merekalah yang berkorban, melepaskan masa
yang sepatutnya kita beri kepada mereka, agar kita berjaya”, saya berkongsi
cerita.

Saya sengaja mengacah pelajar-pelajar di IMU supaya berfikir
bersungguh-sungguh, mengapa mereka memilih bidang perubatan.

Jika anda seorang perempuan yang bakal menjadi doktor, anda perlu tahu
bahawa walaupun negara amat terdesak kepada adanya ramai tenaga pakar,
anda tidak akan diberikan ‘kemudahan’ untuk menjadi pakar. Anda tidak ada
cuti bersalin, seandainya anda ‘termengandung’ semasa sedang membuat program
pakar. Anda tidak menerima sebarang elaun untuk membeli buku. Semua
kena guna duit sendiri. Kursus dan seminar yang anda hadir, anda mesti
membayarnya sendiri. Mungkin anda terpaksa menawarkan diri menjadi AJK
agar dapat dikecualikan dari yuran, walaupun anda tahu akibat menjadi AJK
itu.

Semua orang mahu anda bekerja seperti orang lain, ketika anda terdesak
menghadapi peperiksaan. Tiada belas, tiada insentif.

Misalnya isteri saya, kerana 2 minggu cuti yang diperuntukkan untuk
kecemasan dan lain-lain, sudah pun digunakan bersalin, lupakanlah
kenduri kendara di kampung, lupakanlah ibu bapa, 6 bulan tiada cuti.

Bukan calang-calang kerja.
Anda mahu menjadi pelajar perubatan kerana mahu menolong orang?
Tolonglah diri sendiri kerana anda yang amat memerlukan pelbagai pertolongan itu
nanti.

“Maka, apa tujuan anda mahu menjadi doktor?”, soalan yang sama saya
ulang sekali lagi.

Pelajar-pelajar itu termenung. Sesi soal jawab tiada soalan, kerana
semua soalan adalah untuk ditanya kepada diri sendiri, dan diri sendirilah
yang perlu menjawabnya.

PERSOALAN NILAI

Kuliah kali ini adalah tentang nilai. APA NILAI YANG DIBAWA DALAM
SEBUAH PEKERJAAN? Dalam sebuah kehidupan.

Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja rumahnya,
kerjanya ‘melayan suami’, tidak mungkin mampu dibalas walaupun dengan
bayaran RM2000 sebulan, maka nilai apakah yang ada pada dirinya? Saya
tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu menghargai isterinya, tetapi
dalam kes ini, si perempuan itu sudah menjatuhkan dirinya.

Hanya ‘bibik’ sahaja yang buat kerja rumah untuk duit. Maafkan saya,
hanya pelacur sahaja yang meletakkan harga pada layanannya terhadap seorang
lelaki.

Seorang ibu membuat kerja rumah kerana Nilai Kasih Sayang. Seorang
isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas NILAI KASIH SAYANG. Maka tanpa
kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber kebencian.

Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan sesuatu adalah
sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku kita terhadap
pekerjaan yang kita lakukan.

NILAI DUIT

Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan
dengan banyak masalah, walaupun wang berjaya diperolehi.

Sekarang ni sudah menjadi satu trend kepada dua industri, kalau boleh
saya katakan industri. Yang pertamanya adalah industri perubatan, dan yang
keduanya, industri berkaitan petroleum. Trend yang saya maksudkan di
sini, adalah perpisahan di antara seorang suami atau isteri dengan
pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan desakan nilai wang itu
tadi.

Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumahtangga, berpisah
sementara (bukan calang-calang sementara) demi melepaskan isteri yang
bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk.
Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum, bekerja di
negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk meningkatkan
kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang menagih
kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan… tetapi output daripadanya merunsingkan
saya.

Itu, belum lagi dikorek kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang
atau Kuala Lumpur .

Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya ditakdirkan
Allah bertemu dengan outputnya. Saya bertemu dengan anak-anak remaja,
yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun. Saya bertemu dengan kes,
suami main kayu tiga ketika isteri meninggalkannya gersang setahun di
tanah air. Saya juga bertemu dengan kes isteri yang mem’poligami’ kan
suaminya dengan bersuamikan orang lain semasa di perantauan. Dan kes-kes ini
membiak dari semasa ke semasa. Tidak pernah menjadi tajuk berita. Nauzubillah

Tentu sahaja, hasil kewangan dari kenaikan pangkat dengan bekerja jauh
dari pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi perubahan
itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar dalam sebuah
rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada nilai material?

NILAI – HARGA – KORBAN

Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga.
Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi
mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah
harga yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu? Kehancuran rumah
tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa… itulah harga yang
mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan asas bekerja.

Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita
pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang,
‘mereka adalah generasi yang kesunyian’.

Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh
menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki
itu memberi sesuatu yang tiada diperolehi remaja tersebut di dalam
keluarganya iaitu KASIH SAYANG dan PERHATIAN.

Malam ini saya mahu pelajar-pelajar yang hadir ke kuliah ini, melatih
diri mereka dengan tabiat “Begin With the End in Mind”. Lihatlah apa yang
menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor perubatan,
jurutera dsb

TENTUKAN NILAI SEAWAL PERJALANAN

Maka, semenjak mereka di bangku pengajian, soal nilai yang ingin dibawa
pada kerjaya di masa hadapan, mesti ditentukan.

Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah
selagi mampu, kejarlah habuan material yang dikejar selama ini, tetapi anda
perlu meneliti harga yang perlu dibayar. Perhatikan di mana korbannya? Harga
dan korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit, dan yang paling
besar, mungkin sistem itu sendiri.

Hati saya amat terhiris, mendengar kawan-kawan saya dan isteri,
mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan doktor. Sama
ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah seorang daripada
mereka.

PROVOKASI DEMI MASA DEPAN

Atas provokasi inilah, saya mengajak sahabat – sahabat, untuk menyemak
hubung kait bidang pekerjaan dengan Tujuan Hidup mereka. Kenang kembali
siapa mereka di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi.

Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia yang disembah.
Yang diabdikan diri kepada-Nya. Ia hablun minaLlah.

Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaan-Nya,
kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikan-Nya ke alam ini. Ia hablun
minannaas.

Buat baik kepada sesama manusia, boleh dengan sedekah, boleh dengan
memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali
sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan yang
paling utama, adalah pada menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi kebaikan
kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada kita.

JIKA KERJA JADI IBADAH

Jika kerja jadi ibadah, Allah adalah ‘CEO’ kita. The unsung hero
beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata
insan.

Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak
menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya.

Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas
perjalanan mencapai TUJUAN.

Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja.

Teruskan cita-cita kalian menjalani kerjaya masing-masing. Ia cara
terbesar, kamu zahirkan syukur kepada-Nya.

Kita hamba-Nya, kita Khalifah-Nya.

This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s