Pengawal keselamatan usia 55 tahun lulus sarjana


 

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Semangat tinggi dan sikap tidak mudah berputus asa membuahkan kejayaan kepada seorang pengawal keselamatan berusia 55 tahun apabila beliau memperoleh ijazah sarjana daripada Universiti Malaya (UM) hari ini.

Biarpun mengalami pelbagai rintangan sepanjang enam tahun tempoh pengajian dalam bidang sejarah, pengawal keselamatan berkenaan, Lim Kim Peu (gambar), akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya.

Pagi ini, Kim Peu menerima ijazah tersebut daripada Pro-Canselor UM, Raja Dr. Nazrin Shah pada majlis konvokesyen universiti itu di sini.

Kim Peu yang masih bujang mula mengikuti program pengajian jarak jauh ijazah sarjana di UM pada 2002 dan sepanjang tempoh itu beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan di Melaka.

Kim Peu memberitahu Utusan Malaysia, dengan pendapatan RM500 sebulan, beliau terpaksa menggunakan sebahagian besar wang gajinya untuk membiayai kos pengajian di UM.

“Wang memang merupakan satu masalah. Saya menghabiskan sebahagian besar daripada gaji saya untuk membayar yuran, tetapi itu pun tidak mencukupi.

“Nasib baik pihak universiti bertimbang rasa dan membenarkan saya membayar yuran secara ansuran,” katanya.

Pengorbanan Kim Peu itu berbaloi apabila baru-baru ini beliau berjaya mendapat pekerjaan sebagai jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Melaka selepas lulus pengajian peringkat sarjana.

Lelaki yang berasal daripada keluarga buruh kasar di Merlimau, Melaka itu hanya menamatkan pelajarannya sehingga darjah enam. Pada 1971, beliau bekerja sebagai tukang sapu pada usia 18 tahun.

“Kerja sebagai tukang sapu memang susah dan kotor. Ramai orang menghina dan memandang rendah terhadap saya kerana pekerjaan itu.

“Keadaan itulah yang mendorong saya untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Dengan belajar sendiri, Kim Peu berjaya menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan enam di sekolah swasta sebelum ditawarkan mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1980.

Pengajian Kim Peu di USM dihabiskan dalam tempoh lapan tahun dan beliau merupakan pelajar yang mengambil masa paling lama untuk menamatkan pengajiannya.

“Pada 1980, saya masih seorang tukang sapu. Banyak masalah dihadapi. Gaji saya ketika itu cuma RM130 dan saya terpaksa menyara keluarga.

“Bagaimanapun, dengan semangat tinggi, saya tidak pernah terfikir untuk berhenti belajar dan akhirnya saya berjaya juga menamatkan pengajian walaupun mengambil masa selama lapan tahun,” katanya.

Menurut Kim Peu, sepanjang tempoh pengajiannya dari dulu hingga kini, beliau tidak pernah makan atau minum di luar.

“Saya terpaksa menjimatkan wang. Makanan segera seperti ayam KFC, McDonald’s atau minuman Coca-Cola tidak pernah saya jamah kerana wang perlu disimpan untuk meneruskan pelajaran,” ujarnya.

Demi mengubah nasibnya, Kim Peu memilih untuk meneruskan pelajaran selepas beberapa tahun lulus ijazah pertama di USM. Beliau kemudian diterima untuk mengikuti kursus sarjana pengajian sejarah di UM.

This entry was posted in Motivasi. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s