Hanya Dua Meja, Dua Pokok Dan Satu Lampu Jalan


Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) — “Mudah saja. Encik hanya perlu dua meja, dua pokok dan satu lampu jalan”.

Itulah apa yang diberitahu Kamar Ahmad, 41, tentang perniagaan nasi lemak beliau, pada Bernama baru-baru ini.

Anak kelahiran Perak, yang juga bekas seorang peniaga permaidani, merupakan seorang penjual nasi lemak dan kuih di kawasan perumahan, Bandar Tasik Puteri, dekat sini.

Adakah semudah itu untuk memulakan satu perniagaan gerai makan?

“Memang senang. Di tepi jalan bersih, dan mudah untuk kenderaan berhenti. Orang lain buat, jadi saya ikut sahaja,” kata Kamar.

Bagaimana pula dengan lampu jalan itu?

Menurut Kamar, lampu jalan memang diperlukan dan amat sesuai jika beliau mempunyai masa untuk berniaga burger pada waktu malam.

Satu cetusan minda yang baik?

“Lampu jalan adalah percuma. Kenapa tak gunakan sebaiknya kemudahan yang diberi kerajaan,” kata beliau sambil tersenyum.

UNTUNG LUMAYAN

Kamar menjelaskan bahawa beliau boleh mendapat untung bersih sebanyak RM80 hingga RM100 sehari dengan hanya menjual nasi lemak dan kuih.

Kata beliau lagi, hasil pendapatan daripada menjual nasi lemak dan kuih di tepi jalan telah menolong beliau membayar ansuran bulanan untuk rumah dua tingkat yang dibelinya melalui pembiayaan bank di kawasan tersebut.

“Jual permaidani dah tak boleh cari duit, kerana pasaran permaidani dah tepu. Jual nasi lemak lagi baik, kerana permintaan untuk makanan jenis ini sentiasa ada,” jelas beliau.

Menurut Kamar, beliau dan isterinya akan mula memasak nasi lemak jam tiga pagi setiap hari. Tepat jam enam pagi, Kamar telah bersedia dengan jualan juadah sarapan pagi di gerai tepi jalan beliau.

Kata Kamar, beliau membeli kuih-muihnya daripada seorang makcik yang tinggal berhampiran rumahnya.

“Bila hampir jam 9 pagi, semuanya habis dijual,” katanya.

CARA BIJAK UNTUK CARI REZEKI

Bila diberitahu tentang perniagaan Kamar, aktivis sosial Fatimah Mansur berkata ia merupakan satu cara yang bijak untuk mencari rezeki.

“Dia tak perlu modal yang besar untuk mulakan perniagaan. Tak payah susah nak sewa kedai, nak bayar bil eletrik dan air atau nak bayar gaji pekerja.

“Dan beliau boleh bawa pulang untung bersih RM100 satu hari. Ini satu usaha yang patut disanjung dan seharusnya dicontohi oleh generasi muda, lebih-lebih lagi graduan yang menganggur,” kata Fatimah.

USAHA YANG TIDAK BERSUNGGUH-SUNGGUH

Fatimah juga melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir peniaga Bumiputera yang tidak menonjolkan kesungguhan usaha dalam perniagaan.

Kata beliau mereka sepatutnya mempunyai imaginasi yang lebih untuk berjaya. Kalau tak dapat pelanggan, mereka seharusnya bergerak mencari pelanggan.

Kata Fatimah, peniaga dan penjaja kecil Bumiputera sepatutnya mencontohi peniaga ’surat khabar lama’ di mana peniaga-peniaga ini sanggup meronda kawasan perumahan untuk mencari barangan yang mereka perlukan.

“Kalau anda penjual nasi lemak, mungkin anda boleh jual dari pintu ke pintu. Apa yang nak dimalukan, dan anda mungkin dapat untung lebih dengan menjual cara sebegini,” saran beliau.

Advertisements
This entry was posted in Masyarakat. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s