Kisah sedih pengutip sampah…


Jakarta menguatkuasakan undang-undang untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pengutip bahan-bahan terbuang, namun ia sedikit pun tidak menggentarkan mereka.

SEORANG pengutip bahan-bahan terbuang merenung masa depannya yang kelam.

PADA waktu siang, pencari bahan-bahan terbuang memenuhkan pedati masing-masing dengan sampah dan pada waktu malam, mereka tidur di tepi jalan.

Mereka juga tidak takut ditangkap oleh pihak berkuasa yang membuat rondaan dan kawalan di sekitar Jakarta.

Undang-undang baru yang dikuatkuasakan di ibu negara Indonesia pada bulan lalu menyaksikan penalti atau hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada pengutip bahan-bahan terbuang yang mencari nafkah untuk menyara keluarga mereka.

Namun setakat hari ini, mereka tidak menghiraukan tindakan keras yang akan dikenakan itu. Ini kerana mereka telah lama bermain permainan ‘kucing dan tikus’ dengan pihak berkuasa.

Buyung yang bekerja di jalanan bersama isterinya sejak dua tahun lalu, sebelum ini merupakan penjual makanan tetapi perniagaannya ditutup lima tahun lalu. Kisahnya adalah tipikal mengenai penduduk yang tiada tempat tinggal di Indonesia.

“Tiada sebarang pekerjaan untuk saya selain menjadi pengutip atau pencari bahan-bahan terbuang,” kata Buyung, 32, yang berasal dari Sumatera.

“Apa yang saya peroleh hari ini hanya cukup untuk membeli makanan. Tiada apa yang tinggal untuk menyewa bilik atau rumah.”

Isteri dan anak perempuannya tidur di dalam pedati kayu yang dibelinya pada harga RM105 beberapa tahun lalu. Sementara Buyung akan berbaring di atas tikar di luar pedati tersebut kecuali jika hujan, mereka tiga beranak akan berhimpit di dalam pedati tersebut.

Setiap hari, Buyung hanya mendapat beberapa ribu rupiah. Cawan plastik dijual pada harga RM2.10 setiap kilogram (kg); kertas kadbod RM0.35 untuk satu kg manakala kertas hanya RM0.17 untuk berat yang sama.

“Pedati ini merupakan ‘nyawa’ kehidupan kami kerana saya sekeluarga bergantung kepadanya 100 peratus,” ujar Buyung.

Bagi birokrat Jakarta, Buyung dan rakan-rakannya yang terdiri daripada pengutip bahan-bahan terbuang merupakan ‘perosak’ di kota raya yang sentiasa mengalami kesesakan teruk, pencemaran udara dan banjir kilat selepas hujan.

“Peningkatan jumlah golongan ini telah memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap pengutip bahan-bahan terbuang,” kata Ketua Bahagian Pentadbiran Hal Ehwal Awam, Endang Murni.

Menurut Endang, dia tidak dapat menganggarkan berapa ramai pengutip bahan-bahan terbuang yang ada di Jakarta sekarang.

Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan di pejabatnya, jumlah yang ada sekarang telah meningkat empat kali ganda sejak tahun 2005.

Sehingga kini hampir 16,000 orang ditangkap di jalanan pada 2007 dan dipaksa membayar denda RM17.50 atau penjara selama sebulan.

Secara praktikalnya, kesemua mereka membayar denda tersebut dan kemudian kembali menghuni di jalanan. Tetapi undang-undang terbaru mengenakan denda sehingga RM7,000 atau penjara selama 60 hari.

“Kami perlu melakukan sekatan yang boleh mencegah mereka daripada terus melakukan perkara tersebut. Ini amat penting bagi keselesaan bandar dan orang awam,” tambah Endang.

Ibu Tati, 54, yang telah menjadi pengutip bahan-bahan terbuang selama lebih dua dekad, tidak mengetahui tentang peraturan baru tersebut tetapi mengingati peristiwa memalukan apabila ditangkap beberapa tahun lalu.

“Pedati saya dimusnahkan di hadapan saya dan saya kemudian dibawa ke rumah kebajikan untuk orang-orang jalanan,” kata Tati.

Rumah kebajikan tersebut juga melatih pengutip bahan-bahan terbuang kemahiran baru yang ditawarkan sebagai alternatif untuk membayar denda atau dipenjara.

Ujar Tati, dia diletakkan di sana selama sebulan sebelum pihak berkuasa memindahkannya ke bandar Cirebon di Jawa Barat untuk bekerja di kebun pejabat kerajaan.

Tetapi dia kembali ke Jakarta secepat mungkin dan meneruskan kehidupannya sebagai pengutip bahan-bahan terbuang kerana bandar itu adalah rumahnya.

“Sukar bagi saya waktu itu untuk memulakan kembali kehidupan setelah kehilangan pedati kesayangan,” kata Tati.

Kini, Tati memberi tumpuan mencari sampah dari bangunan-bangunan pejabat ketika hari biasa manakala pada hujung minggu, dia menunggu di hadapan rumah yang baru mengadakan majlis keraian.

“Saya sukakan parti. Jika mana-mana rumah mengadakan parti atau majlis keraian, saya hanya akan menunggu di luar sehinggalah majlis tamat untuk mengutip sampah.”

Buyung dan keluarganya juga pernah ditangkap pada satu ketika dahulu.

“Anak saya ketika itu baru berusia sembilan bulan apabila pihak berkuasa merampas pedati kami dan semua barang-barang yang ada di dalamnya.”

Meskipun menghadapi kehidupan yang sukar sebagai pengutip sampah, Buyung tetap pasrah.

“Tiada siapa yang mahu kehidupan sebegini. Tetapi, bagi saya ia lebih baik daripada menjadi pengemis. Itu lebih memalukan kerana mereka tidak berusaha untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna,” ujarnya penuh reda. – AFP

This entry was posted in Antarabangsa. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s