Tunggu 36 tahun sebelum bergelar Muslim


INILAH beberapa produk sabun keluaran Awana Maju Jaya Enterprise yang diusahakan Muhammad Firdaus Abdullah Teh.



MENGIKUT bapa berpindah dari Sungai Buloh, Selangor ke negeri Cik Siti Wan Kembang kira-kira 46 tahun lalu meskipun berat diterima Teh Thean Seng kerana memikirkan terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran baru, namun rupa-rupanya ada hikmah di sebalik itu.

Apa tidaknya, pada usia 10 tahun, Thean Seng sudah tidak kekok bergaul mesra dengan masyarakat Melayu yang sebelum ini tidak pernah beliau jangkakan. Malah apabila usianya meningkat dewasa pemahamannya dengan adat budaya dan amalan ritual masyarakat Islam bukanlah sesuatu yang pelik ataupun menakutkan.

“Saya masih ingat semasa membantu bapa dengan perniagaannya dahulu, ramai pelanggan bapa adalah orang Melayu Islam. Keakraban ini secara tidak langsung, menjadikan saya seolah-olah seperti mereka biarpun kami berlainan agama,” katanya.

Sehinggakan beliau dibenarkan ikut mereka ke surau. Tambah pula, Thean Seng amat suka dan asyik bila mendengar azan berkumandang. Bila sahaja mendengar muazin melaungkan azan hatinya rasa tenang. Namun selepas mengetahui maksud di sebaliknya, timbul juga keinginan untuk mengetahui lebih.

“Malah sebelum memeluk Islam lagi pengucapan seperti memberi salam, beristighfar dan mengucap kalimah syahadah sentiasa meniti di mulut saya.

“Sehinggakan ada segelintir pelanggan menyangka yang saya sudah masuk Islam,” kata Thean Seng yang kini dikenali dengan nama Islamnya, Muhammad Firdaus Abdullah Teh mengimbas kenangan awal mengenali agama Islam.

Beliau yang kini berumur 56 tahun mengakui sebenarnya perancangan memeluk Islam telah berputik sebelum mendirikan rumah tangga lagi.

Hasrat

“Seingat sayalah pada masa itu usia saya baru mencecah 20 tahun. Kalaulah pada waktu itu, hasrat tersebut tidak dibantah oleh kedua-dua orang tua, sudah pasti saya telah Islam pada masa itu. Sayangnya, saya tidak mampu menahan leteran mereka menyebabkan saya mengambil keputusan untuk memendamkan sahaja hasrat tersebut,” jelasnya.

Kata Firdaus, memang sukar menggambarkan betapa kecewanya hati namun apakan daya pada masa itu keluarga adalah segalanya.

“Tetapi, saya tetap menyimpan hasrat dan keinginan untuk bergelar Muslim suatu hari kekal. Apa yang mampu saya lakukan ialah tidak putus berharap dan sentiasa berdoa agar hasrat pengislaman termakbul suatu hari nanti.

“Jadi untuk tidak terlalu memikirkan masalah tersebut, saya penuhi jadual harian dengan kerja-kerja sama ada di kedai bapa ataupun menghantar barangan ke luar daerah. Kesempatan bertemu dengan para pelanggan Islam membuka peluang bertanya pelbagai soalan berkaitan agama Islam,” terang Firdaus yang kini mengusahakan perniagaan runcit di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Selain itu, kemahiran menghasilkan beberapa produk pelbagai jenis sabun seperti cecair pencuci pinggan mangkuk, cecair pencuci pakaian dan pelembut fabrik yang diperoleh daripada bapa kini diusahakan di bawah syarikatnya iaitu Awana Maju Jaya Enterprise lebih 15 tahun lalu.

Tambah Firdaus, selepas perayaan Tahun Baru Cina ini, syarikatnya merancang mengeluarkan beberapa produk baru seperti syampu tangan, sabun pencuci pelbagai guna dan syampu kereta.

Oleh itu, beliau berkata mana-mana pihak yang berminat mengedarkan produk-produk sabun keluaran syarikatnya, bolehlah menghubunginya di talian 019-366 4278 atau untuk sebarang pertanyaan.

Berkongsi kisah penghijrahan akidahnya, kata Firdaus beliau bersyukur sikap terbuka isteri dan anak-anak bila disuarakan hasratnya untuk memeluk Islam. Beliau yang mengucap dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baru telah diislamkan oleh Ustaz Yusuf Abdullah pada 3 Disember tahun lalu.

“Pemahaman isteri dan anak-anak amat bermakna kerana hasrat yang terpendam selama ini akhirnya tercapai juga. Malah anjuran seorang teman yang juga mualaf, Muhammad Azhar agar saya pergi ke pejabat agama membuka jalan kebuntuan yang sebelum ini seperti tidak kelihatan.

“Biarpun isteri masih belum Islam, namun saya lihat ada ruang di dalam dirinya tetapi saya tidaklah mahu mendesak. Lagi pula saya pernah bertanya kepada Ustaz Yusuf dari Perkampungan Masyarakat Orang Asli Bukit Mancung, Bukit Beruntung dan diberitahu bahawa isterinya perlu diberi gambaran jelas tentang Islam barulah hatinya akan terbuka untuk memeluk Islam secara ikhlas.

“Kemungkinan untuk ketiga-tiga anak saya untuk memeluk Islam, itu adalah hidayah Allah. Buat masa ini, saya lebih mengutamakan pemantapan ilmu agama dalam diri, selain memberi contoh akhlak seorang Muslim agar salah faham mengenai Islam diperbetulkan,” katanya yang berterima kasih kepada Ustaz Yusuf dan beberapa pelanggan Islam yang tidak putus asa memberi tunjuk ajar terutamanya dalam soal praktikal fardu ain.

Penyediaan ruang solat di sudut kedainya membuktikan kepada penulis bahawa ada kesungguhan dan keikhlasan Firdaus dalam usaha pemantapan akidah Muslim. Di samping itu, beliau juga bersembahyang berjemaah di surau Bukit Mancung, Bukit Beruntung sekiranya tugasannya tamat awal.

Sekiranya tidak berkesempatan pun, akui Firdaus, beliau sudah boleh melaksanakan solat lima waktu secara bersendirian.

This entry was posted in Dakwah. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s