Pelajar India Belajar Di Kandang Kuda dan Kontena Usang


Setelah hampir 80 tahun menyumbang bakti kepada masyarakat India sekitar bandar Klang, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Tepi Sungai akhirnya musnah sekelip mata dalam satu kebakaran pada 22 Disember 2007. Baki bangunan sekolah yang masih ada hanya menunggu masa sahaja untuk roboh menyembah bumi kerana terlalu uzur.

Ekoran dari itu, pihak sekolah terpaksa menumpangkan pelajar-pelajar mereka di kandang kuda milik Majlis Perbandaran Klang (MPK). 150 pelajar tahun satu hingga enam agak terkejut dan tidak selesa dengan ‘wajah’ baru sekolah tersebut.

Pihak sekolah terpaksa menempatkan seramai 19 murid tahun satu bersama 19 lagi murid tahun dua dalam kelas yang sama kerana kekurangan ruang.

Ketika sesi pembelajaran, 2 orang guru yang masing-masing mengajar pelajar tahun satu dan dua terpaksa berkongsi satu papan tulis. Keadaan ini menyebabkan pelajar keliru dan tidak memahami apa yang disampaikan kerana 2 guru menulis dan bercakap dalam satu kelas yang sama.

Seorang suri rumah, M. Mageswary menceritakan bahawa terdapat pelajar yang trauma dan meraung-raung kerana terkejut melihat keadaan sekolah yang agak ‘luar biasa’ ini. Ibu bapa pelajar berkenaan tiada pilihan dan terpaksa memujuk anak-anak mereka untuk terus belajar di situ.

Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah ketika dihubungi, melahirkan rasa simpati beliau kepada nasib pelajar-pelajar ini.

“Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1927 dan telah banyak menyumbangkan bakti kepada negara ini. Nilai sejarah dan sumbangan sekolah ini langsung tidak mendapat perhatian di pihak Kerajaan”

Tambah beliau lagi, “Jumlah pelajar kini semakin berkurangan kerana ibu bapa takut untuk menempatkan anak-anak mereka dalam keadaan sekolah yang terlalu uzur dan lebih teruk dari sekolah-sekolah yang berada dikawasan estet di luar bandar.”

Sivarasa memaklumkan bahawa pada tahun 2003, Presiden MIC, Samy Vellu telah datang melawat sekolah ini dan meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.2 juta bagi pembinaan bangunan sekolah yang baru. Namun setelah hampir 4 tahun berlalu, projek yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

Pada Oktober tahun 2006 pula Ahli Parlimen Kapar yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, Komala Krishnamoorthy telah mengumumkan kepada ibubapa sekolah tersebut bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia telah meluluskan peruntukan RM800,000 bagi kerja-kerja baik pulih sekolah tersebut.

Beliau adalah wakil rakyat dimana letaknya sekolah tersebut. Beliau juga merupakan Ketua Wanita MIC Pusat.

Namun janji hanya tinggal janji. Kerajaan terlalu sibuk untuk projek mega WPI, NCER, dan ECER hingga terlepas pandang kepada sekolah ini.

Dalam perkembangan berasingan, SJKT Kampung Jebong Lama, di Simpang, Taiping, Perak yang telah menabur bakti selama 74 tahun turut menerima nasib yang hampir serupa.

Sebuah kontena lama berukuran enam kali tiga meter telah dijadikan kelas sementara menanti bangunan tambahan sekolah disiapkan. Berkemungkinan kelas ini adalah kelas yang terkecil sekali dinegara ini dan boleh dimasukkan dalam Malaysian Books of Record.

Sebanyak RM550 ribu telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi membina bangunan baru, namun hingga kini tiada sebarang aktiviti pembinaan dilakukan.

Kelas ini akan menjadi sangat panas selepas pukul 11 pagi dan pelajar tidak dapat lagi memberikan tumpuan selepas itu.

Seorang pelajar M. Vaanmaly, 8, berkata;

“kelas itu memang terlalu panas, tapi bolehlah kerana tiada pilihan lain”.

Selain 2 buah sekolah ini, terdapat sekurang-kurangnya 10 lagi Sekolah Tamil yang perlu dibaik pulih dan diberikan bangunan tambahan. Sekolah tersebut adalah;

1. SJKT Kalaimagal, Kedah
2. SJKT Batu Kawan, Penang
3. SJKT Subramaniam Bharati, Penang
4. SJKT Ladang Flemington, Perak
5. SJKT Kajang, Selangor
6. SJKT Sungai Buloh, Selangor
7. SJKT Senawang, Negeri Sembilan
8. SJKT Ulu Tiram, Johor
9.SJKT Kangkar, Johor
10.SJKT Ladang Menteri, Pahang

Sivarasa mengatakan bahawa KeADILan akan berusaha membawa masalah Sekolah-sekolah Tamil ini kepada Menteri Pelajaran, Hishamuddin Tun Hussein.

Diharapkan agar kementerian tidak mendiskriminasikan pelajar di sekolah ini berbanding sekolah-sekolah vernakular yang lain. Kalau kementerian boleh menyediakan prasarana dan peralatan persekolahan yang lengkap di sekolah Bestari dan Kebangsaan, tiada sebab untuk sekolah ini diabaikan begitu sahaja. Kaum India juga punyai hak yang sama untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna untuk anak-anak mereka kerana mereka juga adalah sebahagian dari pewaris masa depan negara ini.

Jika benar  pihak kerajaan telah memberikan peruntukan, maka tiada sebab projek pembinaan bangunan sekolah yang baru tidak boleh disiapkan dalam masa terdekat.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s