Oleh Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Hrkh) – Umat Islam di negara ini digesa supaya berwaspada terhadap barangan permainan lego yang diimport dari negara Denmark kerana didakwa menghina Nabi Muhammad s.a.w.
Seorang pembaca yang mengirimkan satu email kepada Harakah berkata, permainan tersebut turut dijual di negara ini.
Email tersebut turut disertakan dengan gambar permainan tersebut yang tertera perkataan ‘play as if you are prophet Mohammed contains 23 wives including 6 year old Aysha’.
Perkataan Halal juga ditulis pada permainan tersebut. Selain itu permainan tersebut ditulis dengan perkataan ‘made in Denmark’ 6+ dan ‘not suitable for girls’.
“Kita sudah maklum betapa kerasnya permusuhan kerajaan Denmark terhadap Islam. Khasnya dalam kontek memperlekehkan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w,” katanya.
Pada Februari 2006 lalu umat Islam seluruh dunia termasuk Malaysia membuat bantahan berhubung penyiaran kartun yang menghina Nabi Muhammad s.a.w dalam akhbar-akhbar di beberapa negara Eropah.

Sebanyak 12 karikatur yang memaparkan imej Nabi Muhammad s.a.w, yang pertama kali disiarkan oleh akhbar Jyllands-Posten di Denmark pada September tahun 2005 dan kemudian diulang siar dalam akhbar-akhbar di beberapa negara lain, menimbulkan kemarahan dan kesedihan di kalangan jutaan umat Islam di seluruh dunia.
Justeru itu, kata, pembaca tersebut umat Islam diminta memboikot barangan tersebut demi kesucian agama Islam dan Nabi s.a.w.
Beliau juga meminta supaya Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyiasat barangan tersebut sebagaimana disebarkan melalui email.