Pemotong rumput OKU kumpul duit 20 tahun demi tunaikan haji


Daripada Khairdzir Yunus

MEKAH: Walaupun telah berusia 65 tahun dan cacat sebelah kaki dan tangan, namun seorang pemotong rumput kurang upaya (OKU) gigih mengumpul wang selama hampir 20 tahun bagi mencapai impiannya untuk menunaikan fardu haji di Mekah.

 

Abdul Rahim Md Desa, 65, yang berasal dari Lot 128, Jalan Masjid, Pekan Tunjang, Jitra, Kedah, tidak pernah jemu mengumpul secara beransur-ansur wang hasil titik peluhnya yang tidak seberapa sebagai pemotong rumput dengan harapan suatu hari nanti simpanannya di Tabung Haji mencukupi untuk membolehkannya menjejakkan kaki di Tanah Suci.

“Yang susahnya duit simpanan saya tak pernah cukup-cukup kerana setiap kali saya agak simpanan sudah cukup, tambang haji naik lagi…itulah sebabnya dekat 20 tahun baru simpanan saya cukup untuk naik haji,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat penginapannya di Maktab 91 di bangunan AlJanadiriah di sini.

Beliau gembira kerana impiannya untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu akhirnya tercapai pada tahun ini.

Walaupun tinggal di Tunjang, Jitra, Kedah, Abdul Rahim terpaksa mencari rezeki sebagai pemotong rumput di Kepala Batas, Pulau Pinang dan berulang-alik agak jauh dengan menunggang motosikal roda tiga OKU miliknya semata-mata untuk mencari rezeki.

“Saya berazam untuk menunaikan haji ketika saya mula-mula bekerja sebagai pemotong rumput di Taman Sri Skudai, Johor pada tahun 1990 lagi,” katanya.

Katanya Taman Sri Skudai dihuni ramai pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana UTM mempunyai kampus induk di Skudai.

“Saya bekerja sebagai pemotong rumput di Taman Sri Skudai dari tahun 1990 hingga tahun 2000 dan dari tahun 2001 hingga 2007 saya bekerja sebagai pemotong rumput di Kepala Batas, Pulau Pinang,” kata Abdul Rahim, yang masih membujang.

Beliau berkata pekerjaan sebagai pemotong rumput tidak memberikan pendapatan lumayan malah pendapatannya juga tidak tetap.

“Kadang-kadang dapat RM5 kadang-kadang RM50 (sehari)… tak tentu… kadang-kadang tiga empat hari tak ada pendapatan,” katanya, yang turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan.

Anak sulung daripada lapan beradik itu pernah bersekolah Inggeris di Sekolah Menengah St. Mark, Butterworth, Pulau Pinang sehingga Tingkatan Tiga tetapi sukar mendapat pekerjaan tetap selepas beliau berhenti sekolah disebabkan faktor kecacatan fizikal yang dialaminya sejak lahir, selain tidak mendapat keputusan peperiksaan yang baik.

Walaupun mengalami kecacatan fizikal pada kaki dan tangan kiri tetapi Abdul Rahim tidak mahu meraih simpati orang lain tanpa berusaha sendiri terlebih dahulu.

Buktinya, beliau datang ke Mekah seorang diri tanpa ditemani oleh adik-beradik atau saudara-maranya.

Abdul Rahim, yang berlepas dengan penerbangan haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah baru-baru ini, berkata beliau berpuas hati dengan layanan kakitangan Tabung Haji dan anakanak kapal yang sentiasa membantunya sepanjang penerbangan termasuk menyediakan kerusi roda untuk kemudahannya bergerak di kedua-dua lapangan terbang itu.

Beliau kini banyak menghabiskan masa beribadat dengan menunaikan sembahyang fardu dan ibadat sunat yang lain di Masjidil Haram sementara menunggu hari wukuf di Arafah dan melakukan ibadat melontar di Mina kira-kira dua minggu lagi.

Abdul Rahim berkata beliau juga tidak menghadapi apa-apa masalah untuk ke Masjidil Haram, terletak kira-kira 700 meter dari tempat penginapannya di sini, kerana selain beliau boleh berjalan kaki sendiri, beliau juga boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan van teksi dengan kadar tambang hanya satu riyal sehala. (RM1=SR1.116).

“Lagipun banyak jemaah lain yang sedia membantu saya,” katanya, yang boleh berjalan kaki sendiri dengan menggunakan tongkat.

Abdul Rahim berkata beliau berkongsi bilik dengan enam jemaah haji lelaki yang lain dan berasa gembira kerana rakan-rakan sebiliknya juga sentiasa sudi menolongnya.

“Saya cuma berharap pihak Tabung Haji dapat menyediakan sebuah kerusi roda semasa saya hendak melakukan ibadat melontar di Mina nanti,” katanya. BERNAMA

This entry was posted in Agama. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s