Rancang pemakanan ketika hamil


Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

SETIAP wanita yang ingin hamil perlu merancang tabiat pemakanan secara sihat. Pakar Pemakanan Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Norimah Abdul Karim berkata, pemakanan yang baik sebelum dan ketika hamil penting untuk pembahagian sel sempurna bagi membentuk tisu sokongan.

Ini penting bagi perkembangan janin seperti plasenta, cecair amniotik, tali pusat dan perkembangan rahim.

Menurutnya, untuk wanita yang ingin hamil, berat badan hendaklah tidak terlalu kurus atau gemuk.

“Terdapat implikasi berat badan terhadap kehamilan. Misalnya, berat badan sebelum hamil boleh memberi kesan kepada perkembangan dan hasil kehamilan.

“Wanita yang kurang berat badan mempunyai risiko tinggi untuk melahirkan bayi kurang berat.

“Selain itu, mereka juga mungkin mengalami pendarahan semasa bersalin dan risiko tinggi untuk melahirkan anak tidak cukup bulan serta mempunyai kecacatan kongenital,” katanya.

Dr. Norimah turut menjelaskan, wanita yang berlebihan berat badan mempunyai risiko untuk menjadi sukar mengandung selain mendapat diabetes gestasi yang boleh menyebabkan kelahiran bayi besar (berat melebihi 4 kilogram) dan komplikasi lain.

Selain itu, katanya, golongan ini akan mengalami hipertensi yang boleh menyebabkan pre-eklampsia.

“Wanita hamil memerlukan makanan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

“Wanita hamil boleh memenuhi keperluan pemakanan mereka dengan mengambil makanan berketumpatan nutrien tinggi,” jelasnya.

Kata beliau, makanan sebegini dapat membekalkan ibu dan bayi dengannutrien-nutrien bagi memastikan pertambahan berat badan yang mencukupi sepanjang kehamilan.

Selain itu, katanya, pemakanan yang baik juga dapat mengurangkan masalah semasa kehamilan seperti muntah-muntah, pedih ulu hati dan sembelit.

“Keperluan untuk nutrien meningkat ketika hamil meningkat, terutamanya semasa trimester kedua dan ketiga (iaitu minggu ke-12 hingga melahirkan).

“Iaitu seperti pengambilan makanan yang mengandungi tenaga, protein, vitamin B1, vitamin B2, vitamin B3, folat, vitamin A, vitamin C, vitamin E, kalsium, iodin dan zink.

“Peningkatan keperluan untuk zat besi juga terlalu tinggi sehingga tidak dapat dipenuhi melalui diet yang biasa sahaja.

“Selain itu, keperluan asid lemak perlu (asid linoleik dan alfa-linoleik) ditingkatkan untuk pembentukan janin sempurna,” jelasnya.

Menurut Dr. Norimah, wanita hamil juga digalakkan untuk mengambil diet yang pelbagai dan seimbang.

Beliau memberitahu, suplemen nutrien tertentu disarankan untuk wanita hamil kerana keperluan zat besi tidak dapat dipenuhi melalui diet biasa.

Jelasnya, multi vitamin mineral harian mungkin diperlukan bagi wanita hamil yang tidak makan dengan mencukupi atau kumpulan berisiko seperti remaja, wanita 40 tahun ke atas dan juga bagi mereka yang kehamilan kembar.

Tetapi perlu diingat, wanita hamil atau yang merancang untuk hamil pada masa terdekat haruslah mengelak daripada mengambil vitamin A berlebihan kerana ia akan meningkatkan risiko kecacatan janin.

Tambah Dr. Norimah, peningkatan berat badan semasa hamil boleh berlaku sekiranya wanita hamil tidak merancang pemakanan.

“Wanita yang kurang berat badan atau berat badan normal haruslah mengalami peningkatan berat badan yang progresif iaitu 12.5 kilogram atau peningkatan 25 peratus berat badan sebelum hamil apabila mencapai tempoh kehamilan.

“Bagi wanita tersebut, peningkatan berat ialah sebanyak 0.5 kilogram sebulan dalam tempoh lima bulan pertama kehamilan dan 0.5 kilogram seminggu semasa trimester terakhir.

“Wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan haruslah mencapai peningkatan berat badan tidak melebihi sembilan hingga 12 kilogram, manakala bagi wanita yang obses, peningkatan berat badan tidak harus melebihi enam hingga sembilan kilogram.

“Secara keseluruhan, pengambilan nutrien yang mencukupi semasa hamil menjamin peningkatan berat badan berada di dalam julat yang disarankan,” ujarnya.

* Sumber maklumat; Wanita & Pemakanan (Panduan Praktikal Profesional Kesihatan) terbitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

About these ads

Perihal almizan

rahim
This entry was posted in Keluarga. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s