Jangan abai anak-anak jika tidak mahu dipenjara


Oleh SALHAN K. AHMAD

ANTARA berita yang paling menarik perhatian pembaca laman ini sepanjang bulan lalu adalah yang berkaitan kehilangan allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, yang kemudiannya dijumpai mati dalam keadaan mengaibkan.

Secara umumnya, boleh disimpulkan bahawa berita tersebut memberi kesan emosi yang menunjukkan bahawa kesedihan yang ditanggung oleh keluarga Nurin itu turut dikongsi bersama oleh pembaca.

Masakan tidak, sebuah laman blog yang didirikan khas untuk memperingati Nurin telah menerima ucapan takziah bertalu-tali di bahagian komentar pembacanya.

Peristiwa kejam yang dilakukan terhadap kanak-kanak tidak berdosa ini seterusnya telah mengundang reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat, kebanyakannya tertumpu kepada aspek hukuman bagi mengelakkan penjenayah yang berpotensi daripada terus melakukan kejahatan tersebut.

Namun ramai pula yang bangkit menyuarakan bantahan apabila timbul gesaan supaya mengenakan hukuman terhadap ibu bapa yang didapati mengabaikan aspek keselamatan anak-anak kecil mereka, sedangkan peruntukan itu telahpun termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001.

Ketua bahagian siasatan seksual, penderaan dan kanak-kanak Bukit Aman berkata hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana akta tersebut digubal dengan mengambil kira keperluan-keperluan masyarakat.

“Akta ini baru digubal pada 2001, maksudnya ada keperluan pada masa itu untuk hukum ibu bapa yang abaikan kanak-kanak. Tapi bila kita hendak kuatkuasa, ramai yang tidak mahu pula,” kata Asisten Komisioner Suguram Bibi Munshi Deen kepada kira-kira 200 orang peserta sebuah forum mengenai keselamatan kanak-kanak yang diadakan dekat sini pada hujung minggu lalu.

Turun padang: Asisten Komisioner Suguram Bibi Munshi Deen menerangkan mengenai kepentingan peranan ibu bapa dalam keselamatan kanak-kanak. (Semua foto ihsan MLA)

Jelasnya, Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 yang menyebut elemen hukuman tersebut dengan jelas terhadap ibu bapa atau penjaga yang termasuk dalam kategori: Mana-mana orang yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak.

Hukuman tersebut disediakan ke atas individu “yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian,” jelasnya.

Tambahnya, sabit kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Suguram Bibi menjelaskan akta tersebut digubal pada tahun berkenaan memandangkan kes-kes pembuangan bayi banyak berlaku, setelah mengambil kira seruan masyarakat pada masa itu, tetapi isunya sekarang adalah pengabaian ke atas kanak-kanak sekitar 7 hingga 12 tahun.

Jelasnya lagi, akta tersebut masih relevan pada masa kini kerana akta tersebut memperuntukkan perlindungan terhadap kanak-kanak, yang ditakrifkan sebagai sebagai “seorang yang berusia bawah 18 tahun” dan bukan ke atas bayi yang baru lahir sahaja.

Ibu bapa patut dihukum sekiranya mengabaikan kanak-kanak: Rasamani Kandiah

Seorang peguam, Rasamani Kandiah, di forum yang sama menjelaskan keadaan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan, seperti yang diperuntukkan Seksyen 76 akta yang sama.

Salah satu di antaranya adalah keadaan di mana kanak-kanak tersebut telahpun atau menghadapi risiko disakiti secara fizikal, emosional atau diganggu secara seksual — manakala ibu bapa, penjaganya tidak memberi perlindungan walaupun mengetahui mengenai bahaya tersebut.

Katanya lagi, hal ini jelas dalam kes Nurin di mana kanak-kanak tersebut dibiarkan pergi ke pasar malam seorang diri untuk membeli sesuatu.

“Kita tahu kanak-kanak pada usia itu tidak mampu untuk menjaga dirinya sendiri, tetapi mengapa ibu-bapanya membiarkan anak tersebut keluar seorang diri pada waktu malam?” kata peguam veteran itu.

Seorang pengamal psikologi pula berkata ramai ibu bapa umumnya mengabaikan kanak-kanak kerana tidak berupaya untuk menguruskan stres.

Paul K. Jambunathan menjelaskan, ibu bapa yang mengalami stres biasanya akan cenderung untuk membiarkan anak-anak tanpa perhatian.

“Kecuaian itulah yang boleh menyebabkan anak-anak mengalami kemalangan,” kata perunding psikologi klinikal di Pusat Perubatan Sunway itu.

“Kecuaian adalah salah satu petanda bahawa seseorang itu mengalami stres. Jika dahulu seseorang surirumah boleh memotong sayur dengan halus, dia akan potong besar-besar bila dia mengalami stres,” katanya.

Paul Jambunathan dimarahi kerana menegur seorang wanita yang mengabaikan anak.

Di forum berkenaan, beliau turut berkongsi pengalamannya berhadapan dengan seorang wanita yang sanggup meninggalkan anaknya di dalam kereta yang enjinnya tidak dimatikan untuk menyelesaikan urusan bank.

“Jika saya seorang penjenayah, bila-bila masa saja saya boleh larikan kereta itu, bersama anaknya. Jadi saya tunggu di tepi kereta itu selama 20 minit, barulah wanita itu keluar dan berjalan cepat-cepat ke arah keretanya. Saya fikir saya seorang rakyat Malaysia yang prihatin, jadi saya tegur wanita itu kerana tinggal anak kecil di dalam kereta. Tetapi kemudiannya saya pula yang dimarahi,” katanya.

“Apa yang lebih penting di sini? Bayar bil atau keselamatan anak?” soalnya kepada peserta forum itu.

Beliau menjelaskan, orang yang mengalami stres juga akan cenderung untuk bertindak agresif dan mengambil tindakan-tindakan yang tidak wajar.

“Hanya sejenis orang sahaja yang tidak ada stres — orang yang telah mati,” katanya kepada peserta forum tersebut, yang rata-ratanya adalah anggota sebuah persatuan wanita — Multicultural Ladies Association (MLA), dan juga ahli-ahli jemputan Majlis Kebangsaan Persatuan-persatuan Warga Kanan Malaysia (MACSCOM).

Jelasnya lagi, ibu bapa pada masa kini sering menyalahkan stres terhadap faktor-faktor luaran seperti bebanan kerja, “namun sebenarnya stres adalah satu faktor dalaman.”

“Apa yang penting, kita mesti berupaya mengenalpasti masalah-masalah yang mengganggu hidup kita dan mencari jalan penyelesaiannya,” jelasnya.

Penganjur forum tersebut, Patricia Lum pula menyeru para peserta supaya mendapatkan kaunselor peribadi bagi keluarga masing-masing.

Patricia Lum menyeru setiap keluarga mendapatkan kaunselor bagi membantu menyelesaikan masalah.

Jelasnya, kaunselor ini akan dapat membantu setiap keluarga mengenalpasti masalah yang dialami mereka dan mencari jalan penyelesaian sebaiknya.

Awal tahun ini, perdana menteri telah melancarkan satu program kaunseling untuk membantu mengurangkan masalah sosial melalui program ‘Satu Keluarga, Satu Kaunselor’,” katanya.

“Ramai orang suka menyalahkan pihak berkuasa apabila memperkatakan mengenai isu keselamatan kanak-kanak. Tetapi kita lupa, langkah-langkah keselamatan kanak-kanak juga berada di bawah tanggungjawab ibu bapa,” kata presiden MLA itu.

Antara objektif utama persatuan yang ditubuhkan pada Jun 2005 itu adalah memupuk persefahaman, kerjasama dan solidariti antara wanita melalui aktiviti-aktiviti dalam komuniti.

Tambahnya lagi, persatuan itu akan mengadakan lebih banyak program kesedaran mengenai pengurusan stres serta keselamatan wanita dan kanak-kanak pada masa hadapan.

This entry was posted in Isu Semasa. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s