Jangan bergaul dengan orang ternama, titah Sultan Azlan kepada hakim


KUALA LUMPUR: Para hakim perlu “mengelak godaan untuk bergaul dengan ahli perniagaan dan orang kenamaan lain” bagi memastikan mereka tidak hilang kebebasan dan kewibawaan.

Sultan Azlan Shah, yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara selepas berkhidmat 30 tahun dalam perkhidmatan badan kehakiman untuk menaiki takhta negeri Perak pada 1984, bertitah demikian pada Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 di sini hari ini.

Baginda bertitah: “Tiada yang lebih memusnahkan keyakinan orang ramai atau masyarakat perniagaan dalam badan kehakiman daripada kepercayaan bahawa hakim berat sebelah apabila membuat keputusan sesuatu kes atau hakim itu tidak bebas apabila membicarakan kes yang melibatkan litigan yang terdiri daripada individu atau perbadanan yang berkuasa.”

Keyakinan terhadap badan kehakiman mungkin akan terhakis apabila masyarakat perniagaan mempunyai tanggapan keputusan dibuat secara tidak berwibawa,” titah baginda dalam ucapan bertajuk “50 Tahun Perlembagaan dan Undang-undang”.

Baginda bertitah penghakiman dalam perbankan atau transaksi komersil yang bertentangan dengan norma atau alasan yang tidak difahami juga akan menimbulkan syak wasangka atau hilang keyakinan.

Pada masa sekarang, baginda bertitah para hakim perlu berhati-hati kerana kebebasan boleh hilang akibat pelbagai punca dan bukan sahaja daripada eksekutif dan mereka yang tidak dapat menahan godaan untuk bergaul dengan pelbagai golongan.

Baginda juga bertitah apa yang paling penting ialah pelabur asing mempunyai keyakinan terhadap kewibawaan dan integriti badan kehakiman negara, dan menggesa diperkenalkan mahkamah komersil pusat di Putrajaya dengan hakim terlatih yang mahir dengan undang-undang komersil yang sentiasa berubah.

“Jadi kita juga boleh menjadi pusat bagi penyelesaian pertikaian di rantau ini,” titah baginda.

Baginda bertitah pelabur asing juga menjangkakan penyelesaian pantas kes mereka di mahkamah dan penangguhan akan mengakibatkan masyarakat perniagaan mengalami kerugian.

Sultan Azlan bertitah dalam kajian Bank Dunia baru-baru ini mengenai penyelesaian pertikaian komersil, Malaysia berada dalam ranking agak terkebawah ke-63 daripada 178 negara, manakala laporan serupa oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat mengingatkan kalangan ahli perniagaannya supaya berwaspada dengan proses lambat pengadilan kes di mahkamah Malaysia.

“Ini jelas merupakan gambaran yang tidak baik terhadap mahkamah kita,” titah baginda.

Baginda bertitah perubahan daripada segi luaran sahaja tidak akan berjaya dan jika Malaysia mahu mencapai sasaran untuk menjadi pusat penyelesaian pertikaian komersil serantau, ia perlukan pembaharuan besar-besaran.

Sultan Azlan turut menyentuh mengenai perlunya bagi hakim untuk berkecuali iaitu mereka bukan sahaja bebas daripada pengaruh kuasa luaran tetapi juga antara satu sama lain.

“Tiada seorangpun hakim, walaupun yang kanan, boleh mengarahkan rakan setugas untuk membuat sesuatu keputusan.

“Ciri utama seorang hakim ialah integritinya tidak boleh dipertikaikan,” titah baginda.

Mengenai hubungan antara hakim dan peguam, Sultan Azlan bertitah ia perlu terjalin mengikut lunas yang betul.

“Hakim tidak sepatutnya tunduk kepada pihak yang dihadapkan ke depannya. Peraturan ini bukan sahaja terpakai kepada litigan tetapi juga peguam. Ia bukan semata-mata satu amalan tetapi etika asas,” titah baginda.

Mengakui terdapat peguam yang baik dan yang teruk, baginda bertitah: “Terdapat dakwaan bahawa ada sesetengah peguam tidak bertanggungjawab, mereka sama ada mengelirukan mahkamah atau cuba memilih hakim atau mahkamah bagi pendengaran kes mereka bagi mendapatkan keputusan yang memihak kepada anak guam mereka.”

“Ini merupakan campurtangan serius dengan pentadbiran kehakiman dan proses mahkamah,” titah baginda.

Sultan Azlan bertitah sebagai seorang hakim di sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya, mereka perlu sensitif terhadap perasaan semua pihak tanpa mengira agama,bangsa atau fahaman. BERNAMA

This entry was posted in Isu Semasa. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s