Beginikah realiti kehidupan artis kita?


MEMBACA tulisan Kakak Tua dalam bicaranya “Mulut Berkata Riba Menanti” pada 17 Sept lepas, kepala mengangguk sendiri tanda setuju dengan apa yang dikupaskan, itulah realiti yang sedang berlaku dalam dunia artis hari ini.

Hari demi hari, sinis senyum ini melihat tingkah artis-artis kita dengan satu persatu gambar dan aksi kononnya terpapar secara tidak sengaja dan dikirimkan oleh insan yang tidak bertanggungjawab.

Belum lagi gebang mereka mengenai kisah-kisah hidup yang terang-terang salah kiblat tetapi dinobatkan sebangga-bangga mungkin oleh mereka kerana fikir kisah mereka itu hebat dan mempesona.

Kisah foto dan aksi melampu misalnya, apabila tersebar mulalah tampil dengan kenyataan yang bukan-bukan dan melatah yang sungguh salah, jalan mudah menuduh ia angkara manusia yang tidak bertanggungjawab.

Isunya mudah, mengapa empunya diri sendiri rela beraksi sedemikian sedangkang telah maklum diri seorang selebriti yang tidak akan mungkin mampu membuat orang ramai tidak mahu ambil tahu.

Sejak mula lagi, ketika masih suam-suam kuku dalam bidang seni yang saya kira adakalanya bak rancangan realiti “Survivor” ini, telah tahu setiap perilaku sebagai artis diperhati dan bagi peminat yang kurang ilmu mungkin menerima dan bulat-bulat meniru.

Jadi mengapa sebagai artis tidak menjaga tingkah bersuka-suka mempamerkan dada, menunjuk rasa cinta berahi dan tanpa sedikitpun segan silu berpeluk erat biarpun belum dihalalkan?

Jangan pantas menuduh saya kolot, itu bukan alasannya tetapi lebih kepada jatidiri dan sedar diri kita sebagai manusia di bumi Malaysia ini yang berpaksikan nilai serta budaya suci dari timur.

Sekalipun muka persis Pan-Asia, Eurasian, Mat mahupun Minah Salleh (tidak kiralah memang sejak azali begitu atau menjalani transformasi kecanggihan sains dan teknologi perubatan), anda tetap warga tanah merdeka ini.

Alasan minta peminat faham situasi atau dianiaya sudah jadi terlalu klise, yang kadangkala membuatkan hati digeletek tawa lantas terukir senyuman berbilang sinisnya.

Belum lagi kisah selebriti yang dengan bangga dan gilang-gemilang menyambut kelahiran zuriat di lokasi yang pada saya sangat kurang sesuai (pusat hiburan) kerana anak itu masih bak kain putih yang belum bercorak.

Si ayah bangga membingkiskan kisah majlis itu khas dalam usaha menggalakkan minat dan bakat anak, juga keadaan rambut panjang puteranya itu direlakan kerana ia pendorong sang anak yang mahu bergelar “Rockstar”.

Mengucap panjang, belum lagi menyentuh nama anak yang entah apa maksudnya.

Sungguh ia mungkin peribadi tapi jangan canang benda yang membuatkan pembaca atau peminat fikir inikah dunia artis.

Terus terang saya juga bersetuju dengan bait-bait tulisan Kakak Tua kala bercerita perihal berkawan dengan artis.

Satu dari saya sudah-sudahlah, tidak ada apa yang boleh dibanggakan kerana mereka (artis) tak ubah bak seindah biasa.

Tulisan ini sedikitpun tidak mempunyai nawaitu merendahkan atau memandang sebelah mata dunia artis lebih-lebih lagi di kala Ramadhan Al-Mubarak ini masih bertamu, tetapi sekadar menghulur sedikit teguran agar komuniti artis lebih dihormati.

Walau apapun, hakikat yang paling nyata di sini ialah artis juga manusia biasa yang takkan pernah lari dari melakukan kesilapan di mana untuk sekali dua alasan ini wajar diterima, tetapi andai ia berulang lagi itu namanya sambil lewa.

Masih belum terlewat untuk mengubah silap.

Itu lebih terpuji dari menegakkan benang yang basah, agar lebih ramai akan berbangga apabila bergelar artis di masa-masa depan.

Jangan salah-sangka silap laku ini bukan kesemuannya tetapi sebilangan artis cuma.

Apa yang membimbangkan, andai tidak ditegur takut nanti semuanya mewarisi kesilapan yang ada.

Juga pesanan untuk sang artis ataupun sesiapa sahaja pemberita (saya pernah aktif dan kini sambilan cuma), pemberita bukan lapar makanan atau habuan namun semua kehadiran atas jemputan demi tuntutan tugas melaporkan, walau kadangkala tidak dijemput pun tidak terhegeh-hegeh hadirkan diri.

Namun ia semata-mata desakan atas nama tugasan.

This entry was posted in Remaja. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s