Bersama Dr Haron Din: Mimpi bertemu Rasulullah keluar bilik mandi?


 
Dr Haron Din
Fri | Sep 07, 07 | 12:06:29 PM
Soalan: Saya bermimpi menghadiri suatu perhimpunan, orang ramai berkerumum di bilik mandi, lalu keluar seorang laki-laki. Saya melihat badannya basah, warna kulitnya sawo matang dan nampak macam berkudis. Saya bertanya kepada orang di sisi saya.

“Siapakah orang ini?” Jawabnya, “Itulah Nabi Muhammad.” Saya tergamam dan tertanya-tanya betulkah itu Nabi Muhammad? Apabila saya bertanyakan seorang tuan guru di tempat saya, beliau berkata, “Cuba tanya Dato’ Haron Din. Dia pernah bermimpi berjumpa nabi, tentulah dia tahu sama ada itu benar Nabi Muhammad atau tidak.” Tolonglah ustaz perjelaskan. – MUHAIMIN MUHAMMAD, Serdang Jawapan: Dalam suatu hadis riwayat Abu Hurairah r.a (mafhumnya): “Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa mimpi manusia ada tiga jenis. Satu, mimpi-mimpi baik lagi benar (rukyaa sadiqah), kedua, mimpi gangguan syaitan dan yang ketiga, mimpi sebagai mainan tidur atau menggigau.”

Mimpi benar memang wujud dan boleh berlaku, dengan izin Allah SWT. Mimpi benar, khususnya bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w. boleh digolong dalam erti mimpi anugerah Allah kepada seseorang.

Abu Hurairah berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, sesungguhnya sesiapa yang bermimpi melihat daku dalam tidurnya, maka akan dilihat daku ketika sedarnya (yaqazah), atau seolah-olahnya dia melihat daku dalam sedarnya. Syaitan tidak boleh menyerupai daku.”

Berkata Abu Salamah, “Telah berkata Abu Qatadah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, sesiapa yang telah melihat daku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia telah melihat yang benar (al-Haqq). Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Banyak lagi hadis yang menceritakan hal mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. yang menggambarkan bahawa mimpi sedemikian adalah berlaku dan ia adalah benar.

Ada pun mimpi yang saudara ceritakan, maka saya bukanlah orang yang boleh mengesahkan, menafikan ia benar atau pun tidak.

Apakah yang saudara lihat itu benar-benar Rasulullah? Ada beberapa sebab yang perlu diambil kita, pertama, mimpi tersebut adalah anugerah Allah kepada saudara, benar tidaknya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Kedua, jika saudara adalah orang yang bermimpi tetapi tidak pasti itu Rasulullah atau tidak, bagaimana orang lain seperti saya boleh mempastikannya?

Ketiga, jika saudara sendiri meraguinya, maka tentulah orang yang tidak bermimpi, senang-senang boleh meraguinya.

Keempat, hadis-hadis Nabi yang menceritakan perihal mimpi bertemu dengan Nabi s.a.w., disebut dengan jelas mafhumnya, “seolah-olah dia melihatnya dalam keadaan jaga” memberi erti, itu adalah Rasulullah yang sebenar.

Rasulullah s.a.w. yang sebenar, warna kulitnya bukan bersawo matang. Tetapi berkulit cerah, yang sedikit kemerah-merahan, cantik orangnya.

Rasulullah tidak pernah berkudis, macam yang saudara lihat.

Kelima, hadis-hadis banyak menceritakan perihal mimpi bertemu Rasulullah, merujuk kepada keyakinan diri yang bermimpi itu amat meyakini di hadapannya adalah Rasulullah sebenar.

Keenam, ada pun jika ada orang lain yang memberitahunya, itu adalah Rasulullah, timbul persoalan, siapakah orang itu? Bolehkah perkhabarannya diterima.

Ketujuh, pernah beberapa orang menemui saya, mengkisahkan mimpi mereka bertemu Rasulullah s.a.w., ada yang mengatakan, dia bermimpi bertemu Rasulullah orangnya pendek dan terlalu gemuk, yang lain pula berkata dia berkulit hitam seperti Negro, ada yang mengatakan Nabi Muhammad kurus, berjanggut hingga ke paras pusat dan bermacam-macam lagi.

Saya jawab, wallahu a’lam. Saya tidak ada kebolehan untuk membuat tafsiran kerana semua sifat-sifat yang disebutkan itu, bukan sifat sebenar yang berada pada diri Rasulullah s.a.w.

Nabi Muhammad adalah insan kamil, sifat asasinya memenuhi segala kesempurnaan insan. Tiada sebarang kekurangan dalam kisah mimpi seperti dipaparkan.

Walau apapun dikatakan kepada mimpi saudara, saudara telah bermimpi dengan sesuatu yang baik. Saudara bertemu insan yang dikhabarkan sebagai Nabi Muhammad.

Tentulah mimpi tersebut lebih baik daripada mimpi yang bukan-bukan, yang pernah menjadi mainan tidur. – lanh

This entry was posted in Agama. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s