Cari pendekatan terbaik tangani disiplin pelajar


BELUM pun reda masalah yang dialami oleh Cikgu Wee Yim Pien di Sekolah Menengah Bawang Assan, Sibu, Sarawak selepas dikatakan ‘mendera’ 200 pelajar perempuannya dengan merendam di dalam kolam, timbul pula masalah baru iaitu seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Tinggi Johor dikatakan telah mencekik dan hampir-hampir menolak jatuh gurunya dari tingkat dua bangunan sekolah itu. Kejadian itu didakwa berpunca daripada ketidakpuasan hati pelajar tersebut selepas didenda tekan tubi sepuluh kali oleh guru wanita berkenaan. Berikutan kejadian itu, guru wanita itu mengalami lebam pada leher dan tubuhnya.

Kejadian atau pelanggaran disiplin pelajar di sekolah nampaknya berterusan, sama ada didedahkan oleh media massa atau tidak. Sering kalinya, apabila ada kes- kes yang melibatkan laporan polis atau dikatakan boleh menjatuhkan nama baik pelajar, atau wujudnya campur tangan pihak ketiga dalam kes-kes disiplin barulah masalah itu dihebahkan melalui media massa.

Kita percaya tentu banyak lagi kes disiplin yang tidak sampai ke pengetahuan orang ramai walaupun kes itu serius. Menyembunyikan sesuatu kes itu kadang-kadang adalah penting untuk menjaga imej sekolah supaya tidak dicap sebagai sarang samseng, sehingga boleh menghilangkan keyakinan ibu bapa terhadap sesebuah sekolah, atau lebih padahnya apabila ibu bapa menukar anak-anak mereka ke sekolah lain.

Tetapi dalam sesetengah hal, kes seumpama ini perlu didedahkan supaya masyarakat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di sekolah supaya masalah berkaitan pelajar dapat dibawa berbincang atau dicari jalan penyelesaiannya. Di luar, ramai yang mahu berkongsi pendapat kerana mereka juga pernah bersekolah, apatah lagi bersekolah ketika zaman tidak sekalut masalah yang dihadapi sekarang.

Dalam kes Cikgu Wee Yim Pien umpamanya, apabila tersiar sahaja berita pertama mengenai ‘penderaan’ yang dilakukannya, timbul pelbagai reaksi orang ramai sama ada menyokong atau menentang keras tindakan cikgu itu yang dianggap keterlaluan. Bagaimanapun, dari sehari ke sehari, selepas pendedahan demi pendedahan dilakukan, ramai yang menyokong Cikgu Wee. Antara lain menjelaskan bahawa pelajar-pelajar sekolah yang dididik dalam suasana manja akan ‘dibayangi’ oleh ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka diusik, disentuh atau dicubit apatah lagi dirotan dan sebagainya.

Anak-anak inilah yang bakal menjadi masalah kepada guru-guru di sekolah sekiranya mereka nakal atau tidak mematuhi peraturan di sekolah. Paling tidak pun, ramai yang berpendapat bahawa tindakan Cikgu Wee itu benar kerana beliau mahu mendidik pelajar-pelajarnya supaya tidak berulang lagi masalah di sekolahnya kerana masalah itu menjejaskan kepentingan ramai.

Ironi daripada peristiwa itu, apabila berlaku kes kebocoran di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani ekoran daripada tindakan membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas, ada yang menuding jari menyalahkan kelemahan peraturan di sekolah, barangkali kerana tidak pernah mendenda pelajar seperti yang dilakukan oleh Cikgu Wee. Ternyata apa yang dilakukan sebagai amalan negatif di sekolah terbawa-bawa ke luar, termasuklah di bangunan-bangunan kerajaan dan sebagainya.

Inilah masalah yang perlu dihayati dan diperincikan supaya generasi muda yang mengenal sekolah dan ilmu bukan hanya ditekankan soal-soal akademik sahaja tetapi juga kepada sahsiah sebelum mereka berdepan dengan masyarakat sekeliling.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsan (NUTP) menerusi Presidennya, Anuar Ibrahim menegaskan bahawa guru-guru tidak semestinya takut menghukum pelajar memandangkan tahap disiplin di sekolah pada masa ini membimbangkan. Menurutnya lagi, kalangan profesional semakin cerewet dan bersifat melindungi anak-anak mereka di sekolah, manakala guru pula mestilah bertindak atas dasar berani kerana benar.

Kita tentunya tidak mahu pelajar-pelajar yang dilindungi ini kelak akan menjadi samseng jalan raya, terlibat dengan aktiviti mat rempit, menjadi penjenayah dan sebagainya kerana jika kita lihat di bandar-bandar besar sekarang, ramai anak-anak muda memandu kenderaan mewah, kasar dan lebih banyak antara mereka yang tidak mengikut undang-undang daripada mematuhinya.

Jika kita mahu melahirkan insan kelas pertama, sekolah dan ibu bapa adalah asas pentingnya. Oleh itu, ibu bapa mestilah memantau anak-anak mereka dengan baik, tidak terlalu menurut kemahuan anak-anak sehingga anak-anak memijak kepala mereka. Dan yang lebih pentingnya, jika anak-anak itu bersalah dan dikesan oleh pihak lain, ibu bapa mestilah mengakui kesalahan itu, di samping membantu menyelesaikan masalah sama ada dengan kaedah sendiri ataupun bersama pihak yang mengesan kesalahan anak mereka itu.

Oleh hal demikian, bentuk-bentuk tindakan disiplin seperti merotan pelajar berdasarkan pertimbangan, meningkatkan kuasa bertindak guru disiplin di sekolah, dan menggantung persekolahan itu dilihat sebagai langkah terbaik di samping memberi penekanan tentang pentingnya disiplin, masa depan dan membentuk mereka supaya berfikir dengan bijak sebelum melakukan perkara negatif.

– M. JASNI MAJED,
Bukit Kapar, Selangor.

This entry was posted in Remaja. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s