Pendekatan minggu orientasi harus dalam acuan kita


Oleh NURUL IZZAH SIDEK

MINGGU lalu tersiar dalam surat daripada pembaca di sebuah akhbar perdana mengenai perjalanan Minggu Haluan Siswa di sebuah universiti yang terkenal di Malaysia.

Bapa kepada pelajar itu amat tidak berpuashati dengan acara yang diatur sehingga tidak selari dengan budaya dan tradisi orang-orang Malaysia.

Pelajar Islam dinafikan sembahyang dan bercampur secara bebas. Pelajar terpaksa melakukan aktiviti tidak formal yang bercanggah dengan agama dan budaya kita. Ia lari daripada tradisi Minggu Suai Kenal yang berjalan di seluruh universiti di Malaysia. Kes-kes begini dan seumpamanya barangkali berlaku juga di tempat-tempat lain, tetapi tidak didedahkan.

Selalu kita mendengar terdapat kegiatan-kegiatan di luar kegiatan formal dalam minggu orientasi. Usik-mengusik yang keterlaluan, senior yang berlagak, hatta buli dan ragging juga tidak terkecuali. Perbuatan seperti ini bukanlah gambaran sebuah universiti yang melihat kepentingan intelektual, komunikasi kemanusiaan yang tinggi, orientasi keilmuan yang patut menjadi agenda utama orientasi.

Analisis

Minggu Haluan Siswa, Minggu Orientasi, Minggu Taaruf adalah diantara nama-nama yang digunapakai oleh pihak universiti bila menerima pelajar-pelajar baru ke universiti masing-masing. Disamping proses pendaftaran, mengenal bidang kursus, bertemu para pensyarah, ditempatkan diasrama dan bertemu pelajar-pelajar senior.

Para pelajar memerlukan pendedahan dan bimbingan yang baik dan ramah. Oleh kerana mereka adalah orang baru dan sebahagian besarnya masih muda dan remaja, sudah tentu suasana orientasi dapat membimbing, mengenal dan memahami perjalanan sesebuah universiti, falsafah yang digunapakai, corak kehidupan dan kegiatan di kampus dan di asrama di samping kegiatan-kegiatan di fakulti atau jabatan.

Kementerian Pengajian Tinggi ingin melahirkan mahasiwa yang berfikiran kelas pertama. Ia adalah suatu strategi yang baik. Tetapi apabila pengenalan awal dalam Minggu Orientasi tidak menggambarkan hal sedemikian, falsafah, misi dan visi universiti menjadi terjejas.

Pendekatan profesional dan matang boleh memberi kesan awal yang amat positif mengenai universiti yang berkaitan kerana pendedahan awal di kalangan senior atau jawatankuasa Minggu Orientasi meninggalkan kesan yang bermakna pada seseorang mahasiswa baru.

Di universiti tempat saya belajar sejak di peringkat matrikulasi lagi, Minggu Taarufnya dilaksanakan dengan ramah dan penuh ukhuwah. Para jawatankuasa dipilih di kalangan mereka yang ada minat dan bakat mengendalikan program yang diatur secara ikhlas dan perlu memiliki kualiti sabar kerana karenah pelajar baru adalah berbagai.

Acara yang diatur banyak memberikan tumpuan kepada memahami kegiatan akademik, pengenalan kepada pentingnya kegiatan rohaniah di samping perlu mengambil bahagian dalam riadah dan rekreasi. Ia selari dengan falsafah Pendidikan Nasional yang mahukan pelajarnya memajukan potensi diri secara seimbang dan harmoni.

Layanan terhadap pelajar baru perlulah ramah kerana sifat mereka sebagai tamu baru. Sebagai orang baru sudah tentu banyak perkara yang perlu dijelaskan dan para jawatankuasa Minggu Orientasi telah dilatih supaya mempunyai kualiti ramah dan ukhuwah supaya pelajar baru merasa selesa di layan secara baik dan ramah.

Hasilnya pelajar-pelajar baru akan merasakan Minggu Orientasi memberi kesan positif terhadap diri dan bersedia untuk berada di kampus tersebut dalam tempoh masa yang panjang.

Peranan Pelajar Senior

Di dalam hal ini, amat penting bagi para pelajar senior yang juga terdiri dari remaja memahami hati remaja lain.

* Remaja yang baru datang dari kampus memerlukan pendedahan yang berkesan di samping sikap ramah dan santun supaya mereka tidak merasakan suasana ganjil dan pelik di tempat baru.

* Pelajar baru harus diberikan bimbingan dan haluan yang betul mengenai kampus dan fakulti, asrama dan juga kegiatan supaya ada rasa selesa menjadi warga kampus.

* Para senior jangan menunjukkan egonya sehingga menimbulkan rasa marah atau kebencian pelajar-pelajar baru. Kehebatan kita bukan pada wajah yang begis, bahasa yang kasar dan oportunis dalam melaksanakan kerja tetapi pada hemah yang tinggi dengan bahasa yang mendidik dan teguran yang membimbing. Dengan ini, pelajar baru akan menghormati pelajar lama dan secara tidak langsung telah mempamerkan nilai-nilai murni yang diingini oleh institusi pengajian berkenaan.

* Pelajar baru yang meninggalkan rumah dan kampung halaman, sudah tentu mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi terhadap tempat barunya. Berikan sebanyak-banyak maklumat yang baik mengenai universiti, gambarkan pencapaian positif dan cemerlang di kalangan pelajar dan tenaga akademik kerana ia pasti memberi kesan positif kepada pelajar-pelajar baru. Amat penting ahli jawatankuasa Minggu Haluan Siswa ini terdiri di kalangan para senior yang mempunyai kualiti.

* Pelajar baru juga harus bekerjasama dengan baik untuk setiap aktiviti yang tidak menyalahi batasan syarak, moral dan undang-undang. Kerjasama dalam bentuk ini bukan sahaja memudahkan pihak jawatankuasa yang telah merencanakan program ini, tetapi juga memudahkan diri mereka sendiri untuk menyesuaikan diri di tempat baru.

Kesimpulan

Sebagai pelajar baru, mereka perlu dilayan dengan baik, diraikan dengan ramah dan dipandu di mana yang perlu dan dibimbing di mana yang patut. Minggu haluan siswa bukannya tempat menunjukkan lagak, bahasa kasar dan menggambarkan ego senior. Minggu haluan siswa adalah suatu minggu yang mengambil pendekatan mendidik dan memandu supaya pelajar-pelajar didedahkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan hal-hal akademik dan universiti secara profesional dan matang.

* NURUL IZZAH SIDEK ialah graduan kejuruteraan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Kuala Lumpur.

This entry was posted in Remaja. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s