WAWANCARA : Hajjah Rohani binti Datuk Haji Mohd Shahir


Posted by Mingguan Wasilah on 2008/8/7 12:55:32 (439 reads) News by the same author
Hajjah Rohani binti Datuk Mohd Shahir dilahirkan pada tahun 1959 di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau telah dibesarkan di merata-rata tempat memandangkan ayah beliau berkhidmat sebagai anggota polis. Mula mendapat pendidikan awal di Kelantan, seterusnya meneruskan pengajian sekolah menengah di Sekolah Convent Bukit Nanas. Hajjah Rohani telah melanjutkan pelajaran di Universiti Sydney, Australia dan menamatkan ijazah dalam bidang Ekonomi, pengkhususan perakaunan pada tahun 1981.

Kini, Hajjah Rohani menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Eksekutif di HIJRAH Strategic Advisory Group Sdn Bhd (HSAG). Syarikat ini telah ditubuhkan pada tahun 1998 dan menawarkan khidmat latihan, nasihat dan perkhidmatan dalam lapangan Perbankan Islam, Kewangan, Takaful serta Pengurusan Kewangan Islam. Di samping itu, HIJRAH juga merupakan pelopor dalam membangunkan modul latihan yang berasaskan kepada Perancangan Kewangan Islam. Syarikat ini menawarkan latihan yang berupa kemahiran yang meliputi Motivasi Kewangan, Pembangunan Kumpulan Islamik serta kursus Pembangunan Diri.

Menyentuh sudut pengalaman, Hajjah Rohani telah memulakan karier dalam lapangan perbankan selama 9 tahun. Seterusnya, beliau menerima tawaran sebagai Pengurus Perakaunan dan Kawalan Kewangan di American Express. Seterusnya, beliau menjadi Pengarah Urusan fi syarikat pemgurusan aset Islam. Di samping itu, Hajjah Rohani turut menjadi Pengerusi Eksekutif HIJRAH Unit Trust Management sebelum terlibat dengan HIJRAH Strategic Advisory Group Sdn Bhd.

Boleh hajjah ceritakan serba sedikit latar belakang Hajjah?

Saya dilahirkan di Kuala Lumpur, Kampung Baru. Ayah saya seorang anggota polis manakala ibu suri rumah sepenuh masa. Saya mempunyai 7 orang adik-beradik, 4 orang perempuan dan 3 orang lelaki. Memandangkan ayah saya seorang anggota polis, saya telah dibesarkan di merata-rata tempat. Saya telah dibesarkan di Kelantan dari darjah 1 hingga darjah lima. Seterusnya, kami sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur dan bersekolah di sekolah Convent Bukit Nanas.

Bagaimana dengan pendidikan Hajjah?

Selepas tamat sekolah menengah, saya menyambung pelajaran di Australia. Waktu tu, ayah posting di Sabah sebagai Ketua Polis. Saya mengambil jurusan ekonomi pengkhususan perakaunan. Saya berada di Australia selama 4 tahun.

Setelah tamat pengajian, apa yang Hajjah lakukan?

Habis belajar, saya kembali ke Sabah dan bekerja di bank. Waktu tu, saya sudah mula bertudung. Pengalaman pertama menghadiri temuduga, saya disindir kerana orang beranggapan, dengan kedudukan ayah saya sebagai seorang ketua polis, tidak punya masalah bagi saya untuk mendapatkan pekerjaan. Saya dengan tegasnya menyatakan bahawa saya boleh diambil bekerja kalau mahu. Kalau tak nak, saya cari tempat lain. Akhirnya, saya diterima bekerja di situ.

Bercakap di luar bidang kewangan, apa kegemaran Hajjah?

Saya minat memasak dan luangkan masa bersama keluarga saya.

Penghijrahan ke gaya hidup Islam?

Saya mula berjinak dengan dunia Islam yang sebenar apabila berada di Australia. Saya melihat orang putih di sana memakai tudung dan boleh bercakap tentang Islam. Terdetik dalam hati saya bahawa saya Islam kerana warisan. Dari situ, saya mula mencari kebenaran tentang Islam. Saya mula membaca al-Quran tafsir dan banyak berfikir. Sewaktu dibesarkan di Kelantan, memang sudah khatam al-Quran tapi setakat khatam umur 9 tahun semata-mata. Tiada usaha dalam memahaminya.

Mesti Hajjah mempunyai banyak pengalaman dalam hidup kan?

Ya. Saya sedar Allah sangat sayangkan saya. Awal remaja, saya masih mencari-cari arah dan identity. Tiada arah tuju. Tapi saya berfikir sendiri. Saya mahu menjadi lebih baik. Maka, saya nyatakan hasrat kepada ayah untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Para peringkat awal, ayah lebih suka jika saya menyambung pelajaran di Malaysia tapi hati saya kuat untuk berhijrah ke sana. Satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah bila mana saya ditegur oleh seorang mat salleh, menyatakan penampilan saya tidak menggambarkan saya sebagai seorang Muslim. Sejak itu, saya terfikir kembali dan mencari-cari arah tuju Islam.

Kerjaya Hajjah?

Saya memulakan kerjaya saya di sebuah bank di Sabah. Jawatan terakhir saya di bank ialah Penolong Pengurus. Saya berkhidmat di bank selama 9 tahun sebelum mendapat tawaran di American Express. Di sana, saya ditawarkan jawatan sebagai ketua akauntan dan terlibat dalam bahagian pengawalan kewangan. Menariknya di sini, oleh sebab saya bertudung, saya bertanya kepada pengurus tentang pemakaian tudung ni. Alhamdulillah, dia tidak punya masalah meskipun saya merupakan satu-satunya wanita Islam yang bertudung di American Express. Bahkan, pengurus saya turut bertanya tentang apa yang boleh dan tidak boleh. Saya katakan bahawa kita tidak boleh bersentuh dan dia tidak punya masalah untuk itu. Apa yang saya nampak, hal mengikut dan menolak syariat ini sebenarnya bergantung kepada diri sini. Jika kita mahu, tiada masalah sebenarnya. Kita sendiri yang menghalang ke arah itu.

Dakwah cara Hajjah?

Saya punya cara yang tersendiri untuk berdakwah. Sebagai contoh, sewaktu bekerja bersama American Express, saya akan meletakkan nota “Gone for pray” di pintu bilik saya. Jadi, bila bos mat salleh nak cari saya dan membaca nota itu, dia tahu saya pergi sembahyang. Selain itu, walaupun berpakaian muslimah, saya merupakan presiden kepada Kelab Sukan di sana. Pernah syarikat ingin mengadakan parti dan tempat pilihannya ialah disko. Oleh sebab majoriti mereka yang bukan beragama Islam, saya tidak membantah. Dengan tudung-tudung saya masuk ke disko. Kebetulan tema parti tersebut ialah hitam Arab. Dari situ, seorang kawan bukan Islam berkata kepada saya bahawa dia baru tahu bahawa Islam itu tidak terlalu keras. Memang kita nak tunjuk Islam itu tidak keras tetapi masih berada dalam batasan.

Lama bekerja dengan American Express?

Saya berhenti apabila suami ditugaskan di menjadi Pengurus di Pulau Batam. Waktu tu, saya mempunyai 4 orang anak. Setelah istikharah, saya mengambil keputusan untuk mengikut suami. Di sana, saya menjadi suri rumah sepenuh masa. Akan tetapi, untuk mengisi masa lapang, saya menjadi guru di sekolah pondok di sana. Saya mengajar Bahasa Inggeris dan anak murid memanggil saya dengan nama ustazah. Saya di Pulau Batam selama 3 tahun dari tahun 1993 – 1995.

Sekembalinya hajjah ke Malaysia, apa yang Hajjah lakukan?

Sekembalinya ke Malaysia, saya bekerja dengan Abra Group. Bermula dengan jawatan sebagai senior akauntan dan jawatan terakhir saya adalah CEO syarikat. Kemudian, atas sebab-sebab dalaman, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Bagaimana Hajjah mula membuat pembaharuan dalam dunia kewangan Islam?

Sebenarnya, segalanya bermula ketika saya berada di Bahrin. Saya terlibat dalam satu seminar di sana. Sewaktu naik teksi ke tempat seminar, saya bersama seorang bukan Islam yang turut mahu ke tempat tersebut. Kami berbual-bual dan yang memeranjatkan saya, dia adalah penceramah dalam seminar itu. Terkedu saya memandangkan dia seorang bukan Islam memberi ceramah kepada orang yang beragama Islam. Dari situ, saya menanamkan dalam hati untuk mendalami bidang ini dan mahu sistem kewangan Islam dikendalikan oleh mereka yang beragama Islam.

Siapakah yang banyak memberi kekuatan dalam mencapai kejayaan Hajjah sekarang?

Allah. Suami, ibu bapa, orang sekeliling yang banyak memberi dorongan kepada saya untuk terus maju. Saya gembira melihat anak-anak berjaya dan yakin dengan niat saya yang mahu berjuang di jalan Allah.

Harapan Hajjah?

Malaysia kini menuju kea rah negara membangun. Jadi, paling penting jika dapat memberi pendidikan pengurusan kewangan kepada masyarakat. Di samping itu, saya turut berharap agar satu hari nanti Malaysia dapat menjalankan perbankan Islam secara keseluruhannya.

About these ads
This entry was posted in Motivasi. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s