Kem Smart Solat terapkan semangat Islam



“SURUHLAH anak kamu menunaikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan solat) apabila berusia 10 tahun serta asingkan tempat tidur mereka.’’
(Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Kesedaran membentuk generasi yang taat kepada suruhan agama mendorong Biro Remaja & Riada dengan kerjasama Pusat Pengajian Al-Quran Sistem Individu Shah Alam (Pupaqsi) menganjurkan Khemah Ibadah Perdana pada hujung bulan Disember ini. Program selama tiga hari dua malam ini juga adalah bersempena musim cuti sekolah. 

Peserta terdiri daripada pelajar sekolah termasuk lelaki dan perempuan berumur antara tujuh hingga 17 tahun.

Khemah ini bermatlamat melahirkan individu muslim yang mampu menghayati sepenuhnya teori dan praktikal solat, melahirkan anak soleh yang kasih kepada ibu bapa, anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan generasi Islam yang mempunyai kekuatan mental dan fizikal.

Tambah beliau, elemen-elemen di atas mestilah dipupuk daripada usia muda apatah lagi kerana generasi muda muslim masa kini semakin terdedah kepada keruntuhan sosial yang mengancam moral dan akhlak manusia.

Khemah ini dikendalikan sepenuhnya oleh guru-guru lepasan ijazah pengajian Islam dari universiti tempatan yang juga merupakan guru yang berkhidmat dengan Pusat Pengajian Al-Quran Sistem Individu.

Mereka bertindak sebagai fasilitator dan selaku ahli motivasi dalam memenuhi slot-slot khas sepanjang perjalanan program itu.

Para peserta akan didedahkan dengan ilmu yang bersangkutan dengan solat bermula daripada bab bersuci, wuduk, persediaan sebelum solat, bacaan-bacaan dalam solat sehinggalah pergerakan solat yang betul.

“Selain itu, peserta juga akan dibimbing untuk bersolat secara berjemaah di samping bacaan wirid dan doa selepas solat. Apa yang menarik, para peserta dipandu secara intensif dan diberi latih tubi dalam kumpulan-kumpulan kecil agar mendapat tumpuan yang sepenuhnya.

“Mereka akan dibahagikan mengikut kategori umur, jantina dan tahap pendidikan. Setiap peserta dinilai prestasinya dengan berpandukan Rekod Penilaian Kecemerlangan yang disediakan khusus untuk kem itu,” jelas Hafiz.

Menurutnya, slot-slot motivasi anak soleh pula mendedahkan peserta dengan pengisian-pengisian yang menyentuh jiwa mengenai kepentingan taat dan kasih kepada ibu bapa serta memberi semangat supaya mereka berjaya dalam pelajaran akademik dan agama.

Apa yang membezakan kem solat itu dengan program lain ialah pendekatan yang digunakan oleh guru-guru untuk menyelami hati dan perasaan para peserta tentang permasalahan akhlak dan moral.

Selain menjalani Latihan Intensif Solat dan Slot Motivasi Anak Soleh, terdapat juga slot-slot kecergasan dan riadah pada setiap pagi dan petang.

Mereka turut diuji secara mental dan fizikal apabila semuanya menjalani aktiviti jungle trekking pada waktu malam. Tujuannya adalah untuk menyemai ketahanan diri dan supaya tidak takut kepada alam sekeliling. Ini seterusnya membina penampilan diri yang lasak mental dan fizikal serta mampu berdikari.

Bekerjasama

Dalam slot sukaneka, para peserta dipupuk supaya sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama, tidak mementingkan diri sendiri serta tolong-menolong sesama Islam.

Mengulas kesan program itu kepada para peserta, kata Hafiz, pada akhir program ramai peserta menunjukkan perubahan positif. Mereka lebih faham tentang tanggungjawab mengerjakan solat dan erti perhubungan dengan kedua-dua ibu bapa. Apa yang paling ketara ialah terdapat peserta yang mula mencium tangan ibu bapa sebaik sahaja melihat mereka. Selama ini perbuatan itu tidak pernah mereka lakukan secara sukarela.

Para peserta akan dianugerahkan Sijil Penyertaan dan Rekod Pencapaian Keseluruhan .

Perihal almizan

rahim
This entry was posted in Motivasi. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s