COPD penyakit paru-paru kronik


Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

KANSER PARU-PARU.


SEKALIPUN secara relatifnya tidak ramai orang yang biasa mendengar tentang COPD, namun hakikatnya, bagi setiap 10 saat yang berjalan, satu nyawa melayang kerana padahnya di seluruh dunia. COPD – penyakit pulmonari (paru-paru) obstruktif (saluran pernafasan tersekat akibat bengkak atau parut) kronik (keadaan yang berterusan untuk jangka masa lama) bukan sekadar batuk perokok. Lebih dari itu, penyakit yang selalunya gagal dikesan pada peringkat awal ini boleh mengancam nyawa. COPD juga bukan merujuk kepada satu penyakit tunggal tetapi ia merupakan terma payung yang diguna bagi menggambarkan penyakit paru-paru kronik yang menyebabkan saluran pernafasan terbatas. Terma yang biasa didengar adalah bronkitis kronik dan emfisema tetapi ia tidak lagi digunakan sekarang, sebaliknya dimasukkan dalam diagnosis COPD. Antara simptom COPD yang paling ketara adalah nafas tercungap-cungap, pengeluaran kahak yang keterlaluan dan batuk yang kronik, lebih dari sebulan. Rutin seharian seperti berjalan menaiki tangga yang rendah sahaja pun boleh menjadi satu aktiviti yang amat sukar dengan keadaan penyakit yang bertambah buruk. Sebelum pergi lebih lanjut, apa kata kita tanya dulu Pakar Perunding Perubatan Respiratori merangkap Ketua Jabatan Respiratori, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif dulu bagaimana caranya saluran pernafasan berfungsi. ‘‘Paru-paru terbahagi kepada saluran pernafasan, parenkima dan selaput paru-paru. Saluran pernafasan yang bermula dari hidung, seterusnya trakea, bronkus utama dan cabang bronkus yang berakhir dengan pundi-pundi udara (alveoli). ‘‘Saluran pernafasan berfungsi untuk membawa udara yang mengandungi oksigen dari mulut dan hidung ke dalam paru-paru yang berakhir di bahagian pundi. ‘‘Di pundi-pundi ini, pertukaran oksigen (dari udara ke darah) dan gas karbon dioksida (dari darah ke udara) berlaku. Bagi orang normal, pundi-pundi udara boleh mengembang dan mengecut seperti belon getah,’’ ujar beliau. Bagaimana COPD mengganggu pernafasan? Pundi-pundi udara pesakit COPD pula tidak boleh mengembang dan mengecut seperti biasa tetapi sentiasa berada dalam keadaan mengembang dan membesar. Oksigen dari udara tidak dapat masuk ke dalam saluran darah kerana kerosakan pundi-pundi ini. Ini mengakibatkan simptom sesak nafas kerana kekurangan oksigen. Selain dari kerosakan pada pundi-pundi paru-paru, saluran udara pesakit COPD juga bengkak (inflamasi) dan sempit. Pembengkakan saluran pernafasan ini menyebabkan pengeluaran cecair yang banyak. Semua ini menyebabkan simptom batuk berkahak dan sesak nafas. Bukan semua pesakit akan berasa tanda-tanda COPD yang sama. ‘‘Selain paru-paru, penyakit ini juga akan memberi kesan pada organ-organ lain seperti otot, jantung, tulang dan darah. ‘‘Rokok adalah punca utama penyakit COPD. Terdapat sebanyak 75 peratus perokok tidak akan mengalami penyakit COPD tetapi akan ada risiko untuk penyakit lain seperti penyakit jantung, strok, kanser dan lemah tenaga batin lelaki (impotens),’’ kata Dr. Abdul Razak. Menurutnya, COPD dibahagikan kepada bronkitis kronik dan emfisema. Prevalen penyakit ini adalah tinggi dan ia merupakan salah satu punca kematian utama selepas penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung). Penyakit kronik ini juga memberi kesan kepada kualiti kehidupan pesakit dan keluarga pesakit. Peringkat awal penyakit ini, selalunya tidak dikesan, walaupun ia boleh didiagnosis dengan alat-alat ujian fungsi pernafasan. ‘‘Kebanyakan pesakit mengambil sikap tunggu untuk berjumpa doktor sehinggalah batuk mereka menjadi semakin teruk. Malah ada yang mengabaikan batuk atau masalah pernafasan ringan sehingga bertahun lamanya. ‘‘Golongan usia pertengahan sekurang-kurangnya 40-an, paling kerap ditemui menghidap COPD. Namun ini tidak bermakna individu yang lebih muda (bawah 40 tahun) tidak boleh mengalaminya,’’ terangnya. Siapakah yang berisiko untuk mendapat COPD? Mereka yang merokok tanpa mengambil kira jenis tembakau (cerut, rokok daun, bidi, rokok) adalah berisiko tinggi. Keadaan tempat kerja yang berasap, pencemaran udara dan memasak menggunakan kayu api juga boleh menyumbang kepada risiko mendapat COPD. ‘‘Jadi, apabila anda menghadapi masalah dengan sistem pernafasan, segeralah berjumpa doktor. Jika penyakit ini berjaya dikesan di peringkat awal, rawatan dan pencegahan kerosakan pada paru-paru boleh dijalankan,’’ kata Dr. Abdul Razak. Dapatkan bantuan kecemasan sekiranya anda mengalami tanda-tanda berbahaya ini! Sukar berjalan, sukar bercakap, bibir atau kuku bertukar biru atau kelabu, degupan jantung sangat laju atau tidak tetap atau, ubat-ubatan anda tidak membantu (pernafasan masih laju dan sukar) untuk satu tempoh yang lama atau langsung tidak membantu. *Beza COPD dengan asma COPD dan asma adalah penyakit saluran udara pernafasan, oleh itu tanda-tanda penyakit COPD adalah sama seperti penyakit asma di mana pesakit mengalami batuk, sesak nafas dan nafas berbunyi. Perbezaan kedua-dua penyakit ini – asma boleh dirawati dan saluran pernafasan boleh kembali ke normal dengan ubat sedutan atau dipanggil inhaler. Sebaliknya, kesempitan saluran pernafasan pesakit COPD tidak dapat dibalikkan ke keadaan normal sepenuhnya di mana rawatan hanya boleh mengurangkan simptom-simptomnya sahaja. Selain daripada kesempitan saluran udara, penyakit COPD juga akan menyebabkan saluran udara bengkak (inflamasi) dan mengeluarkan banyak cecair. Kesimpulannya, COPD adalah satu penyakit kronik yang amat serius di mana pesakit akan mengalami sesak nafas, batuk dan mengeluarkan kahak yang banyak secara berterusan dan semakin teruk dari semasa ke semasa (progresif). *Ujian fungsi paru-paru Beberapa ujian perlu dijalankan untuk mengesan penyakit ini. Ujian yang sangat penting dan senang dijalankan adalah ujian fungsi paru-paru menggunakan mesin spirometri. Ujian ini akan mengesan penyakit COPD dan juga menentukan tahap penyakit sama ada sederhana, teruk dan sangat teruk. Ia amat mudah tanpa memerlukan suntikan atau ujian darah. Untuk ujian ini, pesakit hanya perlu menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus keluar semua udara melalui satu tiub yang dipasang kepada mesin spirometer. Kandungan udara dalam paru paru boleh dikira dan tahap penyakit COPD ini boleh diketahui. *Tekanan emosi Secara keseluruhannya, penyakit kronik COPD boleh membawa pelbagai kesan kepada kehidupan pesakit. Tekanan emosi adalah kesan yang kurang dibincangkan oleh doktor dan juga ahli keluarga. Kesannya kepada pesakit juga boleh dipanggil penyakit ghaib. Mereka kadangkala kelihatan seperti orang normal tetapi emosi mereka terganggu disebabkan oleh penyakit ini. Mereka menjadi lebih gelisah kerana sesak nafas dan otot-otot pernafasan menjadi ketat menyebabkan sesak nafas menjadi semakin teruk. Proses ini berterusan secara pusingan balik dan disebabkan ini, pesakit COPD akan mengelakkan diri dari keluar rumah atau melakukan aktiviti-aktiviti luaran. Kesemua ini menyumbang kepada penyakit kemurungan. Ini boleh diatasi dengan mempelajari teknik pernafasan perlahan. ‘‘Saya disahkan menghidap COPD pada tahun 2003. Doktor menyarankan agar saya menjalani pemindahan paru-paru. Beliau memaklumkan kepada saya bahawa tanpa prosedur itu, saya hanya mempunyai jangka hayat tidak lebih lima tahun. ‘‘Tetapi, saya takut hendak menjalani pembedahan kerana risikonya besar. Saya mendapat tahu tentang pemulihan semula (rehabilitasi) pulmonari. ‘‘Saya bersenam tiga hari seminggu selama empat jam, melakukan aerobik dan latihan bagi menguatkan bahagian atas tubuh. Sejak itu, saya tidak perlu lagi kembali ke hospital kerana masalah paru-paru.’’ – MUS, pesara kerajaan ‘‘Sebelum diagnosis, saya tidak pernah dengar pun tentang COPD. Saya menyangka, batuk setiap hari dan nafas yang berdehit dari semasa ke semasa itu adalah sesuatu yang normal kerana usia saya yang semakin meningkat. ‘‘Selama beberapa tahun, saya tidak dapat pergi ke mana-mana seorang diri, berjalan kaki terasa seperti jauh sekali. Sekarang barulah saya tahu, menghisap syisya telah menyebabkan masalah pernafasan yang saya alami,’’ – SIVA, berniaga sendiri ‘‘Waktu itu, saya berusia 18 tahun dan mengalami masalah berat badan berlebihan. Seorang rakan memberitahu bahawa merokok boleh membantu saya menjadi kurus. ‘‘Jadi, setiap kali selepas makan, saya mesti merokok. Kini, saya salah seorang penghidap COPD. Saya masih belum sampai ke tahap menggunakan rawatan oksigen tetapi saya sedar, hari itu akan sampai jua nanti. ‘‘Banyak perkara yang dahulunya saya suka lakukan seperti berjalan menyusuri pantai bersama suami, tidak dapat saya lakukan lagi sekarang. Semuanya hanya tinggal kenangan…’’ – SUE, suri rumah ‘‘Tiga puluh tiga tahun saya menggunakan pelbagai produk tembakau. Pada tahun 1998 saya disahkan sakit asma dan empat tahun kemudian, emfisema (COPD) pula. ‘‘Saya bertarung dengan masalah pernafasan selama beberapa tahun sebelum mendapat tahu tentang rehabilitasi pulmonari. Ia amat membantu. Saya turut belajar menguruskan tekanan. ‘‘Aktiviti fizikal kini menjadi teman baik saya yang membolehkan saya kekal cergas di dalam komuniti dan memberikan sokongan kepada para pesakit COPD lain.’’

About these ads
This entry was posted in Kesihatan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s